KEPINGAN papan daripada rumah lama menjadi dekorasi kedai.
KEPINGAN papan daripada rumah lama menjadi dekorasi kedai.
DAPOER Lama Beef Burger .
DAPOER Lama Beef Burger .
DAGING stik dimasak dengan resipi asli mendapat permintaan tinggi.
DAGING stik dimasak dengan resipi asli mendapat permintaan tinggi.
HIDANGAN Barat dan tempatan ditawarkan Mohd Fizi Mazlan dan Suhana.
HIDANGAN Barat dan tempatan ditawarkan Mohd Fizi Mazlan dan Suhana.
Zaitie Satibi


Menu hidangan Barat dan tempatannya ringkas, tidak banyak pilihan. Ini kerana, pemiliknya mementingkan kualiti bahan masakan. Apapun, berbaloi menjamu selera di Dapoer Lama kerana hidangan yang disajikan menepati selera, malah harga juga berpatutan setimpal dengan kuantiti hidangan yang banyak.

Dapoer Lama yang beroperasi sejak setahun lalu diusahakan pasangan suami isteri, Mohd Fizi Mazlan dan Suhana Areekhan. Masing-masing mempunyai pengalaman dalam sajian makanan dan minuman kerana Mohd Fizi pernah berkhidmat sebagai tukang masak dalam kapal kargo gas asli cecair (L&G), manakala Suhana pula pernah membuka restoran makanan laut.

Sajian seperti stik tulang rusuk mata dan stik daging pinggang antara menu popular dan paling mendapat permintaan pelanggan, malah jika anda memesan menu stik ia membuatkan anda terbayang-bayang juadah dinikmati sekali gus ingin mengulang kunjungan.

Mohd Fizi berkata, tugas sebagai tukang masak kapal L&G membawanya menjelajah ke seluruh pelosok dunia dan kesempatan itu digunakan untuk belajar menyediakan hidangan stik daripada tukang masak di negara yang dikunjunginya.

“Saya menggunakan daging potongan stik berkualiti diimport dari New Zealand dengan anggaran 280 hingga 300 gram dan setebal satu inci. Penyediaannya juga ringkas apabila daging stik ini tidak perlu diperap lama sebaliknya hanya ditabur garam, lada hitam dan serbuk bawang putih sebelum disapu minyak zaitun.

“Sebelum daging stik dimasak, ia perlu dilembutkan pada suhu bilik, manakala dapur pemanggang juga kena betul-betul panas. Daging stik dimasak tahap sederhana dalam tempoh kira-kira 10 hingga 12 minit dengan membalik-balikkannya setiap tiga minit.

“Ini bagi memastikan daging dimasak sekata dan isinya lembut serta masih berjus. Daging stik yang siap dimasak juga perlu dibiarkan seketika selama lima minit sebelum dihidangkan bersama kentang goreng dan salad kepada pelanggan,” katanya.

Hidangan stik ditawarkan pada harga RM40 dan mereka mampu menawarkannya pada harga berpatutan berikutan kebanyakan bahan masakan dihasilkan sendiri seperti sos perang, kentang goreng dan rempah untuk stik. Menu lain boleh cuba seperti Nasi Putih Nedeng (daging merah), Nasi Putih Ayam Phadrik, Mi Hailam, Norwegian Salmon Grill dan Beef Burger dengan pati daging dihasilkan sendiri.

Selain menjamu selera, pengunjung juga berpeluang menjamu mata apabila Dapoer Lama dihiasi pelbagai barangan lama

dan antik dari dalam serta luar negara. Boleh dilihat daun pintu, tingkap, tiang seri dan kepingan papan yang diambil daripada rumah lama yang dirobohkan menjadi dekorasi di pintu masuk dan dinding premis.

Lampu limpah dipasang malap memberikan pengunjung mood seperti di zaman sebelum negara mencapai kemerdekaan. Konsep ‘vintage’ menjadi pilihan berikutan Mohd Fizi dan Suhana adalah pengumpul barangan lama sejak lebih 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 4:58 AM