Antara PATI yang ditahan dalam Ops Ikrar awal pagi tadi di Dungun.
Antara PATI yang ditahan dalam Ops Ikrar awal pagi tadi di Dungun.
Zaid Salim


Dungun: Seorang wanita warga Thailand menetap di negeri ini menggunakan pas sempadan ditahan bersama dua anak dalam pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Cacar, Paka, di sini, jam 1.45 pagi tadi.

Wanita berusia 43 tahun dan dua anak berusia setahun serta tiga bulan antara 12 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang ditahan dalam Ops Ikrar di daerah ini dan Hulu Terengganu berakhir jam 5 pagi tadi.

Operasi bermula jam 9 malam tadi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Terengganu Mohd Muda dengan pembabitan anggota dan pegawai seramai 22 orang termasuk empat penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri.

Seramai 23 pekerja warga asing diperiksa dan 12 daripada mereka termasuk dua wanita ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Semua PATI dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Thailand itu dibawa ke Depoh Tahanan Sementara Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 7:33 PM