Zaid Salim

Chukai: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 26 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dalam serbuan Op Ikrar di Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu, yang bermula pagi semalam hingga lewat malam tadi.

Operasi membabitkan 21 anggota dan pegawai termasuk empat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bermula 9 pagi hingga 11 malam.

Serbuan diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Terengganu, Mohd Muda dilakukan di enam lokasi membabitkan tapak pembinaan, kilang papan, stesen minyak, premis mencuci kenderaan dan salun kecantikan.

Seramai 72 pekerja asing pelbagai negara diperiksa dan 26 orang daripada mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Semua PATI ditahan membabitkan warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar berusia antara tujuh hingga 49 tahun dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 5:20 PM