KECEDERAAN ligamen lutut kiri rencat persiapan Chong Wei hadapi kejohanan sulung tahun ini.
KECEDERAAN ligamen lutut kiri rencat persiapan Chong Wei hadapi kejohanan sulung tahun ini.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Permulaan malang. Datuk Lee Chong Wei akan terlepas aksi kejohanan sulung tahun ini pada Seluruh England, Mac depan apabila disahkan mengalami kecederaan ligamen lutut kiri ketika menjalani latihan di Bukit Kiara, Sabtu lalu.

Menurut jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan, kecederaan berlaku ketika Chong Wei cuba bergerak ke sebelah kanan namun pukulan yang dilakukan oleh seorang lagi perseorangan lelaki negara, R Satheishtharan menuju ke sebelah kiri gelanggang.

“Kejadian ini berlaku Sabtu lalu ketika dalam satu perlawanan latihan disebabkan pergerakan yang dilakukannya tersalah arah. Dia mengadu kepada saya berasa terlalu sakit di bahagian lutut kiri dan saya menasihatinya supaya berhenti daripada meneruskan latihan,” kata Hendrawan kepada wartawan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Jelasnya, selepas kecederaan itu fisiologi Sandra Fiedler menyarankan supaya melakukan imbasan imej resonan magnetik (MRI) dan hasilnya terdapat koyakan di bahagian ligamen lutut kiri dengan jangkaan mengambil masa selama lima atau enam minggu untuk sembuh.

“Hari ini (semalam) atau esok (hari ini) dia akan berjumpa dengan doktor untuk memastikan sejauh mana kecederaan itu. Bagi saya dia sepatutnya tidak mengambil bahagian pada Seluruh England (7 hingga 12 Mac) dan Terbuka India (28 Mac hingga 2 April).

“Saya akan duduk berbincang dengannya dan paling penting sekarang ini rehat serta fokus kepada proses pemulihan. Bila sudah sembuh 100 peratus barulah kita boleh buat perancangan baru semula. Ini memang satu kerugian kerana sudah lama dia tidak mengambil bahagian (kali terakhir Siri Super Akhir di Dubai Disember lalu),” kata Hendrawan.

Ujarnya, kekecewaan jelas terpancar di muka Chong Wei, kerana mereka berdua sudah berbincang sejak tahun lalu bila waktu yang sesuai untuk pemain nombor satu dunia itu memulakan aksi untuk musim 2017.

“Selepas sambutan Tahun Baru Cina, saya sudah nampak semangatnya semakin meluap-luap. Dia mempunyai komitmen tinggi untuk beraksi lebih baik. Di saat ini saya nampak dia kecewa dengan apa yang terjadi. Seperti saya katakan sebelum ini pemain ternama selalunya bersara apabila sudah tidak mempunyai keinginan ataupun mengalami kecederaan teruk.

“Berdasarkan faktor usia sudah pasti ia mengambil masa untuk sembuh, bukan seperti pemain muda yang mengalami kecederaan teruk, tapi sekejap saja sembuh,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 8:58 AM