CHONG WEI belum lagi jalani latihan.
CHONG WEI belum lagi jalani latihan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jika jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengambil langkah selamat bahawa Datuk Lee Chong Wei perlu menunggu saat akhir untuk mengesahkan tempat di Seluruh England, tuan punya badan pula mengakui masih belum pasti beraksi di kejohanan berkenaan.

Menurut Chong Wei, sukar untuk memberi jawapan boleh beraksi di kejohanan yang berlangsung pada 7 hingga 12 Mac depan berikutan masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan ligamen lutut kiri.

“Saya tidak tahu lagi boleh bermain di Seluruh England. Cedera semakin pulih, tapi saya belum turun ke gelanggang untuk menjalani latihan. Saya tidak mahu memikirkan mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Chong Wei yang sepatutnya beraksi di kejohanan sulung untuk musim ini di Seluruh England mengalami kecederaan ligamen lutut kiri pada 4 Februari lalu akibat tergelincir ketika menjalani latihan.

Tinjauan semalam mendapati pemain nombor satu dunia itu masih dalam proses pemulihan ketika Hendrawan menjangkakan pemain itu akan turun berlatih dalam minggu ini namun untuk ke Seluruh England perlu diputuskan pada saat akhir.

Kelmarin Hendrawan mengakui walaupun sembuh daripada kecederaan anak buahnya perlu menimbang beberapa faktor lain jika ingin beraksi di kejohanan berkenaan termasuk dari persiapan dan kecergasan.

Selain mencari kejuaraan sulung musim ini, Chong Wei juga dalam misi untuk menambah koleksi trofi Seluruh England selepas merangkul kejuaraan pada 2010, 2011 dan 2014.

Tidak seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei, nama Chong Wei masih belum dikeluarkan dari senarai beraksi di kejohanan berkenaan.

Undian dikeluarkan semalam menyaksikan dia diletakkan pilihan utama dan akan bertemu dari peringkat kelayakan di pusingan pertama, manakala untuk aksi seterusnya dia bakal berdepan pemenang antara Tzu Wei Wang (Taiwan) atau Wei Nan (Hong Kong).

Pemain profesional, Zulfadli Zulkiffli pula berdepan tugas sukar bertemu jaguh China, Lin Dan di pusingan pertama manakala pilihan utama acara beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan berdepan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun).

Turut beraksi beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita) dan dua gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bersama Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 7:15 AM