Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah akan mempengerusikan mesyuarat khas esok untuk mengesyorkan tempoh lanjutan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di perairan Pulau Mengalum, 28 Januari lalu.

Mesyuarat berkenaan yang dijadualkan berlansung pada 11 pagi dijangka disertai oleh beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama MaritimAdam Aziz berkata, antara perkara utama yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti adalah pengesyoran tempoh lanjutan SAR sebelum dimajukan ke Ibu Pejabat APMM di Kuala Lumpur.

"Mesyuarat pengesyoran lanjutan operasi SAR itu akan diadakan pada 11 pagi esok dengan membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan yang lain.

"Ini sebagai tindakan kata putus semua pihak bagi memastikan tempoh operasi mencari semua mangsa dilanjutkan atau sebaliknya sebelum diserahkan

kepada peringkat tertinggi di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat GerakanOperasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Adam berkata, pihaknya masih menanti keputusan bedah siasat mayat seorang wanita yang ditemui di perairan Pulau Mengalum, 9.25

pagi Sabtu lalu.

"Kita baru sahaja dimaklumkan sebentar tadi bahawa proses pengecaman oleh keluarga mangsa mengalami sedikit kesukaran kerana keadaan mayat wanita itu yang mereput dan hancur.

"Sehubungan itu, kita terpaksa menanti pasukan forensikakan membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi memastikan mayat wanita itu adalah mangsa bot karam yang masih hilang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 5:28 PM
ADAM (dua kiri) bersama Ketua Operasi, Kapten Maritim Rahim Ramli menunjukkan lokasi penemuan mayat serta lokasi sektor pencarian. FOTO Mohd Adam Arinin
ADAM (dua kiri) bersama Ketua Operasi, Kapten Maritim Rahim Ramli menunjukkan lokasi penemuan mayat serta lokasi sektor pencarian. FOTO Mohd Adam Arinin