Mangsa berjaya dibawa turun kira-kira jam 7 pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Mangsa berjaya dibawa turun kira-kira jam 7 pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Seorang anggota tentera dari Kem Kementah Kuala Lumpur yang sesak nafas dan kekejangan otot ketika mendaki Gunung Rajah, dekat sini, semalam, berjaya dibawa turun jam 7 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, operasi dilakukan sejak jam 2.13 petang semalam dan bomba mengambil masa enam jam untuk sampai ke puncak gunung.

Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk rawatan lanjut.

"Mangsa seorang daripada lapan anggota yang melakukan pendakian di Gunung Rajah. Dia bagaimanapun dilaporkan mengalami sesak nafas dan kejang otot.

"Keadaan itu menyebabkan mangsa tidak dapat bergerak dan anggota lain juga gagal membawa dia turun sehingga pasukan bomba tiba," katanya.

Kamil berkata, bomba menerima panggilan jam 1.19 petang semalam dan 14 anggota ditugaskan membawa turun mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 11:07 AM