MUHAMMAD HAFIZ menunjukkan menu Grease paling digemari pelanggan.
MUHAMMAD HAFIZ menunjukkan menu Grease paling digemari pelanggan.
Mohd Azam Shah Yaacob

Menikmati hidangan ‘cheesesteak’ atau stik keju, iaitu kepingan roti dipotong tengah berintikan stik daging lembu atau ayam cincang perap yang dipanggang kemudian ditabur dengan hirisan keju ‘cheddar’ pasti memberi kenikmatan berganda bagi penggemar masakan berkeju.

Mana tidaknya, sebaik anda menggigit, lidah serta-merta dapat menangkap betapa kuatnya rasa daging stik bersama rasa keju ‘mozarella’ cair yang kemudian meleleh jatuh dari celahan roti. Gabungan dua rasa keju ini tidak hanya memberikan dua rasa keju berbeza, malah memperkayakan lagi rasa daging stik yang dicincang.

Itu antara rahsia kehebatan menu di Grease, Shah Alam, Selangor. Berasaskan menu masakan Barat Amerika Syarikat (AS), cheesesteak sudah terkenal sebagai hidangan jalanan yang disediakan sebagai menu segera dan dimakan panas di negara itu.

Menyedari populariti cheesesteak yang menjadi pilihan penggemar hidangan berkeju tempatan, ia dijadikan antara menu utama di restoran ini.

Pengurusnya, Muhammad Hafiz Hasbi berkata, biarpun menu yang disediakan berasaskan konsep makanan di AS, ia diolah supaya menepati cita rasa tempatan.

“Pengolahan yang kita gunakan menerusi bahan-bahan perapan selain campuran dalam hidangan.

“Kita pastikan keju digunakan daripada jenis terbaik dan halal, serta paling utama rasanya sebati dengan rasa daging stik yang sudah kita cincang. Jadi, rasa bahan yang digunakan tidak melebihi antara satu sama lain.

“Sebabnya mudah, kerana kita tak mahu pelanggan cepat terasa muak apabila memakannya,” katanya.

Menurut Muhammad Hafiz, selain stik keju, hidangan lain adalah lima jenis spageti serta empat pilihan burger berkeju. Buat masa ini, katanya, Grease hanya menyediakan pati burger daging lembu.

“Daging bagi setiap burger ini pula kita buat dan perap sendiri menggunakan bahan tertentu untuk membangkitkan rasa sungguh kuat.

“Malah, bahan asas pati juga kita gunakan daging yang diimport, berkualiti tinggi serta mempunyai kadar lemak paling rendah supaya apabila menggril, ia tidak melenyapkan rasa bahan perapan yang kita buat,” katanya.

Bagi penggemar keju, Grease pasti lokasi paling tepat untuk memuaskan selera ‘keju’ anda di samping menikmati suasana makan dalam persekitaran nyaman.

Harga bagi setiap menu juga berpatutan iaitu antara RM19 hingga RM22, berbaloi dengan saiz hidangan yang disediakan tetapi ‘mewah’ dengan rasa asli stik keju di AS. Cuma, jika ingin datang pada cuti hujung minggu, pelanggan dinasihatkan membuat tempahan kerana bekalan makanan mungkin kehabisan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 5:04 AM