IHSAN Polid Diraja Malaysia
IHSAN Polid Diraja Malaysia


Bukit Mertajam: Tujuh individu termasuk dua wanita yang sedang leka berjudi menggunakan papan mahjong ditahan dalam serbuan di Jalan Bukit Kecil, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis dari bahagian kongsi gelap, judi dan maksiat (D7) menyerbu rumah itu, pada pukul 10.45 malam.

“Ketika serbuan itu, pemain dan penganjur judi berkenaan sedang leka berjudi terkejut dengan kehadiran polis dan mereka juga tidak sempat melarikan diri.

“Mereka yang berusia 48 hingga 75 tahun itu juga mendakwa berjudi hanya untuk seronok-seronok tanpa sebarang pertaruhan.

“Tapi, pemeriksaan mendapati ia adalah sebaliknya,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang daripada mereka yang ditahan itu adalah pemilik rumah dan penganjur.

Nik Ros Azhan berkata kesemua mereka termasuk seorang wanita warga emas itu menjadikan kawasan ruang letak kereta tepi rumah sebagai tempat berjudi,

Katanya, susulan penahanan mereka, polis merampas RM16,490 wang pertaruhan dan peralatan berjudi antaranya kerusi, meja, papan mahjong, buah mahjong dan pelbagai cip berwarna warni.

Menurutnya, mereka yang bekerja sebagai peniaga, kontraktor, jurujual dan suri rumah itu ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:44 PM