Kanak-kanak perempuan menguncikan diri di dalam kereta selama 45 minit. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kanak-kanak perempuan menguncikan diri di dalam kereta selama 45 minit. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


TAKUT dimarahi bapa, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun menguncikan diri dalam kereta selama 45 minit dalam kejadian di Kota Bharu hari ini.

Tindakannya itu mendatangkan panik kepada keluarga yang cuba memujuk kanak-kanak itu yang berada di bawah papan pemuka dalam keadaan menutup muka.

Cubaan membuka pintu kereta turut dibantu orang ramai dengan mengetuk cermin dan menggoyangkan kenderaan Hyundai Sonata itu kerana menyangka kanak-kanak itu terlelap.

Ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, mereka datang dari Kuala Lumpur dan singgah menjamu selera di restoran Nasi Ulam Cikgu di Jalan Hilir Kota, Kota Bharu.

“Mangsa yang mengantuk enggan keluar dari kereta menyebabkan ibunya mahu memberitahu bapanya yang sudah mula berjalan ke arah restoran.

“Sebaik ibunya keluar dari kereta, mangsa terus menutup pintu (kereta) dan menguncinya dalam keadaan enjin terpasang,” katanya.

Anggota bomba dibantu orang ramai berusaha membuka pintu kereta selepas kanak-kanak perempuan itu  bertindak menguncikan diri dalam kereta. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Anggota bomba dibantu orang ramai berusaha membuka pintu kereta selepas kanak-kanak perempuan itu bertindak menguncikan diri dalam kereta. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Pihak berkuasa segera dihubungi selepas usaha membuka pintu termasuk memujuk kanak-kanak itu gagal.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Adnan Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.49 petang dan tiba 20 minit kemudian.

“Tiga anggota ditugaskan dalam operasi menyelamatkan mangsa yang terkunci dalam kereta.

“Anggota bomba mengambil masa lima minit menyelamatkan mangsa menggunakan peralatan khas bagi membuka cermin kereta,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 5:44 PM