Agensi

Guangzhou, China: Seorang pekerja zoo menjadi mangsa kemarahan kuda belang yang menggigit tangannya dan mengheret pekerja itu sejauh beberapa meter sebelum melepaskannya kira-kira dua minit kemudian.

Rakaman video kejadian yang berlaku di Taman Safari Chimelong itu menjadi viral di China sudah ditonton jutaan orang melalui media sosial Sina Weibo (Twitter versi China).

Beberapa pekerja zoo, seorang daripadanya memegang kayu panjang mengejar kuda berkenaan dalam usaha membebaskan rakan mereka. Suara pengunjung yang terkejut turut kedengaran dalam rakaman itu.

Tidak dapat dipastikan bila rakaman itu mula disiarkan di media sosial namun menurut The Sun, zoo berkenaan menegaskan kejadian itu berlaku hujung Disember lalu, bukannya berlaku tiga hari selepas kejadian seorang pengunjung zoo maut dibaham harimau selepas memanjat tembok Taman Hidupan Liar Youngor di Ningbo, dekat Shanghai, pada 29 Januari lalu.

Banyak media dalam talian dan portal berita menyatakan kejadian pekerja zoo diheret kuda belang itu berlaku tiga hari selepas kejadian pengunjung zoo dibaham harimau.

Menurut kenyataan Taman Safari Chimelong, punca kuda belang itu menyerang pekerja dikenali sebagai Li itu belum dapat dipastikan namun mangsa hanya cedera ringan selepas dilepaskan haiwan itu kira-kira dua minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 5:11 PM