Sepasang kuda belang menjadi tarikan baharu di Mini Zoo Taman Teruntum, Kuantan. FOTO Ihsan MBK
Sepasang kuda belang menjadi tarikan baharu di Mini Zoo Taman Teruntum, Kuantan. FOTO Ihsan MBK
Asrol Awang


Kuantan: Sepasang kuda belang dan kuda padi antara tarikan terbaharu di Zoo Mini Taman Teruntum, di sini, yang dijangka dibuka semula pada Disember ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal berkata, kehadiran haiwan terbabit dijangka mampu menarik lebih ramai pengunjung.

Katanya, sepasang kuda belang itu diberi nama Indah dan Lestari, manakala dua ekor kuda padi dinamakan Hero serta Yvo.

"MBK sedang melakukan kerja menaik taraf kemudahan di zoo mini ini untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung.

"Selain kuda belang dan kuda padi, lapan ekor burung kakak tua akan ditempatkan di sini dengan sebahagian bayaran pembelian haiwan berkenaan mendapat penajaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, antara haiwan lain yang berada di zoo mini itu ialah buaya tembaga, musang pulut, iguana hijau, memerang, landak raya, ayam hutan, arnab, burung unta, kura-kura pipi merah.

Katanya, penambahan pelbagai spesis haiwan itu diharap menarik kehadiran pengunjung yang sebelum ini bertumpu kepada haiwan tempatan.

"MBK percaya kehadiran kuda belang dan kuda padi menjadi daya tarikan bukan sahaja warga Kuantan, malah dari daerah lain di Pahang serta luar Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 1:02 PM