Adam (tengah) meneliti kawasan pencarian yang meliputi perairan Sabah, Labuan, Sarawak dan Brunei Darussalam. FOTO Norasikin Daineh
Adam (tengah) meneliti kawasan pencarian yang meliputi perairan Sabah, Labuan, Sarawak dan Brunei Darussalam. FOTO Norasikin Daineh
Norasikin Daineh


Kota Kinabalu: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menumpukan waktu pagi hingga tengah hari untuk meneruskan operasi pencarian enam lagi mangsa bot karam yang hilang di perairan Pulau Mengalum, Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, ini kerana keadaan cuaca dan laut bergelora pada waktu petang menyukarkan operasi.

“Kawasan pencarian masih sama bagaimanapun ia tertakluk dengan keadaan cuaca di laut.

"Kita akan menumpukan pencarian pada pagi kerana ia adalah waktu terbaik disebabkan laut tidak berombak dan memudahkan pasukan SAR melihat objek yang timbul," katanya ketika memberikan taklimat di Bilik Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tadi.

Adam berkata, sehingga kini pencarian diteruskan walaupun belum mendapat sebarang petanda positif.

Operasi yang masuk hari keenam itu membabitkan 22 aset dan 350 anggota daripada pelbagai agensi di Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 11:15 AM