Norasikin Daineh

Kota Kinabalu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam mangsa bot karam yang hilang di perairan Pulau Mengalum kini masuk hari ke tujuh dan diperkecilkan di kawasan Permatang Semarang.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, ia membabitkan keluasan 2,990 batu nautika ke Selatan dan Barat kerana tumpuan arus dan angin yang bertiup akan memungkinkan pasukan SAR menemui mangsa.

"Sebanyak 21 aset membabitkan 350 anggota terbabit dalam operasi hari ini dan seperti semalam operasi tertumpu pada waktu pagi sehingga tengah hari bagi memudahkan anggota mengenal pasti sebarang objek terapung di kawasan berkenaan.

"Pencarian ini membabitkan keluasan 1,650 batu nautika untuk di perairan Sabah dan Labuan dan selebihnya 1,340 batu nautika di Sarawak dan Brunei Darussalam," katanya.

Terdahulu, dalam kejadian Sabtu lalu, seramai 22 pelancong warga China dan dua kru bot terselamat, tiga lagi maut manakala enam sehingga kini masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 12:11 PM