ZULIN dan Ariz kongsi pengalaman ketika renggang selama 6 bulan.
ZULIN dan Ariz kongsi pengalaman ketika renggang selama 6 bulan.

Sebelum ini hubungan erat penyanyi Ariz Lufias dan pelakon serta pengacara Zulin Aziz disalah erti peminat sehingga kedua-duanya ‘berenggang’ buat seketika.

Namun, baru-baru ini kedua-duanya kembali akrab dan sepakat tidak mahu memutuskan silaturahim hanya disebabkan persepsi masyarakat terhadap mereka.

Kesempatan menemu bual Ariz dan Zulin sekali gus memberi peluang kepada wartawan RAP, Syafil Syazwan Jefri ([email protected]) menyelami hati dua figura seni ini yang terbuka berkongsi perkembangan terkini hubungan mereka.

RAP: Beberapa bulan lalu, kalian seakan-akan menjauhkan diri di antara satu sama lain. Apa puncanya?

Ariz: Selepas acara beramah mesra bersama peminat, kami sibuk dengan komitmen kerja dan mungkin kerana itu ada menganggap kami bergaduh. Hakikatnya kami tidak bergaduh tetapi wujudkan sedikit jarak untuk mengelakkan cerita kurang manis.

RAP: Apakah cerita kurang manis yang anda maksudkan?

Ariz: Pertengahan tahun lalu rakan media sering bertanya mengenai hubungan saya dan Zulin yang dikatakan persis pasangan bercinta. Ia secara tidak langsung buat cerita mengenai perkembangan karier nyanyian saya semakin kurang diperkatakan kerana kisah peribadi lebih menjadi perhatian.

RAP: Adakah ia beri impak kepada kerjaya kalian?

Ariz: Ya, sedikit sebanyak ia menjejaskan karier saya. Apa-apa pun, saya ingin tegaskan kami tidak pernah bergaduh dan masih berkawan rapat.

Zulin: Saya tidak nafikan perkara ini meninggalkan kesan kepada kerjaya saya. Sejujurnya, saya tidak selesa apabila cerita mengenai hubungan kami diperbesar-besarkan.

RAP: Selain itu, mungkin ada alasan lain yang buat kalian sengaja menjauhkan diri?

Zulin: Teman rapat memaklumkan ada orang cuba jadi batu api supaya keadaan jadi semakin keruh. Namun, kami tidak mahu ambil pusing perkara ini kerana ia sudah berlalu. Apa yang penting sekarang, kami kena pandang ke depan.

RAP: Berapa lama persahabatan kalian renggang?

Ariz: Enam bulan. Agak lama bukan?

RAP: Sepanjang tempoh itu, ada kalian berhubung?

Ariz: Lansung tiada komunikasi dan kami hanya fokus karier masing-masing.

Zulin: Betul. Kami tahu kesibukan masing-masing dan tidak mahu mengganggu. Biar keadaan kembali reda, barulah kami bertanya khabar.

RAP: Sepanjang menjauhkan diri, pernah kalian cuba melupakan persahabatan yang terjalin selama ini?

Ariz: Tidak sama sekali kerana kami memang rapat dan lingkungan rakan kami juga saling mengenali. Kalau saya tidak bercakap mengenai Zulin, rakan lain dalam Forteen akan tetap berbicara mengenai Zulin. Pendek kata, ke mana pun saya pergi orang tetap akan bertanya mengenai Zulin. Mana mungkin saya dapat melupakannya.

Zulin: Saya juga berhadapan situasi serupa. Setiap kali bertemu peminat, pasti ada yang minta sampaikan salam kepada Ariz.

RAP: Sekiranya ada peminat melabel kalian pasangan kekasih dan dikecam segelintir peminat lain, apa pendekan yang mungkin diambil?

Zulin: Bagi saya, kami sudah matang dan tahu membuat keputusan. Kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Itu hak mereka untuk menyokong atau mengkritik.

RAP: Apa perancangan kalian selepas ini?

Ariz: Insya-Allah, saya akan muncul dengan single solo berjudul Menjauh. Menariknya, lagu ini karya ciptaan Zulin.

Zulin: Saya tidak me­nghasilkan lagu ini khusus untuk Ariz, tetapi ketika mencari penyanyi yang sesuai untuk bawa lagu ini, ramai kawan menyarankan saya berikan lagu ini kepada Ariz.

RAP: Harapan kalian terhadap bingkisan istimewa ini?

Zulin: Kolaborasi ini memenuhi permintaan peminat yang menantikan buah tangan terbaru daripada kami. Sebelum ini, kami kerap memuat naik video nyanyian bersama dan ramai yang minta kami buat video baru. Diharap mereka berpuas hati dengan karya ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 1:13 PM