Dunia hiburan tempatan baru-baru ini digegarkan lagi dengan berita tangkapan khalwat pelakon wanita dan kes dadah membabitkan penyanyi baru kumpulan rock era 1990-an, Terra Rossa.

Sebelum ini peminat sudah digemparkan dengan berita penangkapan Ezad Lazim kerana kesalahan dadah.

Apapun SS tertarik nak sentuh berkenaan tangkapan penyanyi baru Terra Rossa kerana bekas penyanyinya, Mohd Ali Ismail atau Ali turut terkena tempias.

Ali yang menghubungi rakan SS berkata, dia malu kerana berita ini turut menjejaskan reputasinya sedangkan dia sudah lama meninggalkan kumpulan itu untuk bersama XPDC sebelum menubuhkan Mpire dan bergerak solo.

Menurutnya, memang dia masih menggunakan nama Ali Terra Rossa kerana masih sayangkan kumpulan itu.

Malah, dia berharap akan ada 'reunion' Terra Rossa, malangnya dia diketepikan begitu saja dan mereka ambil pula penyanyi baru yang akhirnya merosakkan nama kumpulan ini.

Paling dia sedih, dalam satu temu bual radio seorang anggota kumpulan ini dengan angkuhnya mendakwa Ali hanyalah penyanyi tumpang dalam Terra Rossa.

Malah, mereka juga mendakwa Ali menganiaya anggota lain dengan menggunakan nama Terra Rossa untuk kepentingan peribadi.

SS harap Ali bersabar menempuh ujian yang dihadapinya. Semoga segala kekeliruan yang timbul akan terlerai selepas ini.

SS: Harap tiada lagi isu buruk membabitkan artis menjelang 2015 nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:02 AM