Nurshafika Suhaimi

SEJAK pandemik melanda negara tahun lalu, ternyata memberikan kesan secara tidak langsung kepada kemerosotan fungsi ekonomi serta golongan peniaga di Sabah. Banyak sektor perniagaan di negeri ini terjejas.

Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) turut menerima tempias apabila perniagaan mereka tidak dapat beroperasi seperti biasa dan ada yang terpaksa ditutup.

Meskipun sektor perniagaan mula mendapat kelonggaran ketika PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) diperkenalkan, namun ia tetap menyukarkan sektor berkenaan melakukan perancangan jangka panjang.

Melihat kepada keadaan itu, FAMA mengambil inisiatif membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah supaya produk keluarkan mereka memenuhi keperluan pasaran dan boleh diedarkan ke pasaran luar yang lebih luas.

Bantuan yang disalurkan membuka peluang kepada usahawan PKS melebarkan lagi sayap dalam perniagaan diceburi.

Seperti perniagaan Dodol dan Bahulu jenama CIKBEN turut terkesan sejak pandemik melanda negara tahun lalu.

Ditanya mengenai keunikan produk makanan jenamanya berbanding yang lain, beliau berkata bahawa produk mereka masih mengekalkan tradisi lama dengan menggunakan dapur arang yang jarang digunakan pada zaman moden ini.

"Kami memilih untuk menawarkan produk ini memandangkan semakin kurang individu yang berminat membuat dan membekalkan Dodol dan Bahulu yang dibakar menggunakan arang.

"Selain itu, produk saya menggunakan resepi asal dan bahan-bahan yang segar. Contohnya dodol hanya menggunakan santan segar dan beras pulut yang dijadikan tepung, bukannya menggunakan tepung pulut yang berada di pasaran.

"Kami juga menawarkan bahulu yang dibakar menggunakan dapur arang. Kebanyakkan yang ada di pasaran bahulu yang menggunakan acuan elektrik," katanya.

Bagi pemilik Family Cake House yang mengusahakan perniagaan Kek dan Muffin di Kg Landung Ayang Kudat, Mardiana Abdul Wahab, 23, menyifatkan lokasi perniagaan strategik serta bimbingan yang disediakan oleh pihak FAMA membantunya untuk terus bertahan dalam perniagaan yang diusahakan kini.

Dalam pada itu dia turut memberi nasihat kepada peniaga di luar sana agar terus bersemangat untuk menempuh segala dugaan alam perniagaan.

"Percaya diri dan jangan mudah berputus asa dalam perniagaan. Apa paling penting terus melangkah ke hadapan tanpa toleh kebelakang." katanya

Sementara itu, Fazlina Jefry, pemilik syarikat Lina Enterprise, berkata musim pandemik ini sangat mencabar bagi perniaga kecil sepertinya kerana kekurangan modal serta kesukaran bertemu pelanggan untuk mempromosikan produk.

'Walaupun begitu, saya tetap bersemangat meneruskan perniagaan ini melalui media sosial serta mengambil peluang mempromosikan produk keluarkan saya di platform online yang disediakan," katanya

Produk utama keluaran syarikatnya adalah kerepek Prawn Finger yang mempunyai pelbagai jenis perisa, salah satunya adalah perisa udang yang ditaburi serbuk kari untuk menambahkankan lagi keistimewaan kerepek Prawn Finger.

FAMA sedia pelbagai program dan kursus sejak pandemik

ImageKeropok Lekor Krispy jenama BASTIN'S terus berada di pasaran dan mendapat permintaan tinggi setiap hari - FOTO FAMA

Berdepan cabaran pandemik Covid-19 tentunya menguji perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bangkit semula daripada kejatuhan akibat pandemik.

Namun bagi Juhilin binti Tutun, pemilik Sos Cili jenama K-lias dan Keropok Lekor Krispy jenama BASTIN'S, pelbagai sokongan yang diberikan secara berterusan oleh FAMA nyata cukup melegakan lebih-lebih lagi selepas syarikatnya mengalami kerugian besar kerana terpaksa membuang bahan mentah.

"Memikirkan cara pasaran agar sukar semasa pandemik, pihak syarikat mengubah strategi kepada strategi pemasaran dalam talian dan penghantaran produk terus kepada pelanggan.

"Pada masa yang sama pihak DIDR Sabah (Department of Industri and Development Research) memberi peluang produk sos cili K-lias dan Keropok Lekor Krispy jenama BASTINS untuk berada di pasaran Hypermarket," katanya

Bagi beliau sendiri, produknya terus mendapat permintaan yang tinggi di pasaran kerana keropok lekor jenama BASTIN'S lembut dan rangup walaupun digoreng selepas 10 jam.

Kini kedua-dua produk ini boleh didapati di kedai runcit, kedai industri kecil sederhana (IKS), Beaufort dan Ranau serta beberapa outlet Hypermarket Bataras di Sabah.

Manakala, Hasrah Malik, pemilik kerepek pisang jenama Hafiszuddin berkata, sebelum mendapatkan nasihat dan bimbingan FAMA, produknya hanya dapat dijual melalui pemborong sahaja.

"Cabaran pada waktu memulakan perniagaan adalah kerepek pisang sudah banyak berada di pasaran dan kami harus memastikan produk keluaran kami seiring dgn citarasa pelanggan." katanya

Namun berkat konsisten dan kualiti yang dihasilkan, kerepek pisang yang dihasilkan sudah dijual menerusi atas talian dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan seluruh negeri.

FAMA dedah pengalaman dunia perniagaan semasa kepada peserta

ImageDua usahawan di bawah bimbingan FAMA bangga apabila produk mereka kini dipasarkan lebih meluas ke seluruh negeri di Malaysia. - FOTO FAMA

Dalam pada itu, Rosmawati Sanda pemilik perniagaan Kerepek Mina tidak sangka langit disangka cerah akhirnya bertukar mendung apabila perniagaan yang diusahakan jatuh selepas PKP diumumkan Mac tahun lalu.

"Pengalaman masa itu sangat menakutkan kerana kami baru berpindah ke kilang. Pada mulanya agar sukar hingga menyebabkan syarikat kekurangan modal serta bahan mentah terpaksa dibuang kerana produk tidak dapat dijual.

"Tambahan pula, kami hanya berniaga secara luar talian menyebabkan ramai pelanggan tidak dapat merentas daerah untuk membeli", katanya.

Daripada situ, beliau mula belajar ilmu perniagaan menerusi kursus dan seminar dianjurkan pihak FAMA sehingga dapat ​​membesarkan lagi perniagaan mereka dari peringkat perkongsian hinggalah ke syarikat berstatus sendirian berhad (Sdn Bhd).

Antara usahawan lain yang berkongsi kisah kejayaan mereka adalah Jarina Maskul, 40, bangga apabila perniagaan mee kering syarikatnya kini mula mengorak langkah kehadapan dan menjadi pembekal Mee Kering INAMEE ke pasaraya terpilih setanding dengan produk syarikat besar lain.

Menurutnya, kemudahan Geran Agropreneur Muda (GAM) dan Program Geran Pemadanan (CUP) yg disediakan oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah membantu meminimalkan impak kewangan dalam menjalankan perniagaan terutama dalam tempoh pandemik kini.

Selain itu, pencapaian yang lebih membanggakan apabila perniagaannya miliknya mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pertanian daerah Kunak sebagai  "Petani Contoh" pada tahun 2018.

Usahawan Asimah Unting pemilik perniagaan Shyma Enterprise pula kongsi kisah berdepan dengan pelbagai cabaran memasarkan produk kopi.

Katanya, jualan produk semakin berkurangan telah menyebabkan perniagaan tidak berjalan dengan lancar.

Selain kekurangan modal untuk membeli bahan mentah, beliau juga akui kurang pengalaman dalam mempromosikan jualan hinggalah terpanggil untuk menyertai program disediakan pihak FAMA.

Pihak FAMA membantu perniagaannya dari segi penyediaan pelekat jenama pada bungkusan produk kopi, sekaligus membawa produk kopinya ke pasaran lebih luas.

Ditanya mengenai keistimewaan produk kopinya, Asimah Unting berkata produk kopinya mempunyai rasa asli tanpa campuran dengan harga yang berpatutan.

"Kopi-kopi ini akan diproses dalam dua bentuk iaitu biji kopi dan serbuk ataupun uncang kopi. Kami memilih menawarkan produk ini kerana produk ini kopi asli dengan aroma yg tersendiri serta harga mampu milik."

Selain memberikan bimbingan dan menyediakan pelbagai program, pihak FAMA juga membantu usahawan PKS memasuki pasaran baru khususnya ke segmen pasaraya.

Antara program yang dijalankan oleh FAMA dalam membantu usahawan ialah penyediaan kursus secara online seperti Kursus Copywriting, Kursus Pemasaran OnlineHands On Agrobazaar Online, platform jualan secara online bersama Shopee iaitu E-FAMAPlace, dan pelbagai lagi program yang dijalankan demi untuk memperkasakan usahawan Malaysia.

Malah, bantuan yang disalurkan ini berjaya membantu para usahawan dalam mempersiapkan diri serta produk masing-masing supaya ianya bersifat daya upaya, mampu bersaing dan inovatif dalam pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 12:46 PM