Gambar kenangan Omar bersama anak dan menantu yang menjadi tular di media sosial. FOTO ihsan Mohd Hafizan Ilias
Gambar kenangan Omar bersama anak dan menantu yang menjadi tular di media sosial. FOTO ihsan Mohd Hafizan Ilias
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Demi kasih terhadap arwah isteri, seorang pesara secara spontan mengeluarkan gambar insan tersayang untuk merakam kenangan bersama anak bongsu dan pasangannya yang diijab kabul pada Jumaat lalu.

Omar Hashim, 67, berkata, gambar kenangan perkahwinan anaknya Nurul Hanim itu tular di media sosial selepas dimuat naik oleh jurugambar majlis perkahwinan menerusi laman Facebook.

"Ia secara spontan kerana saya sering teringat dan rindukan arwah isteri Ramlah Yusof serta selalu membawa gambarnya ke mana saja saya pergi.

"Saya sebak dia tak dapat bersama menyaksikan majlis bersejarah anak bongsu kami, sebab itu saya keluarkan gambarnya (isteri) untuk merakamkan gambar kenangan kami tiga beranak sejurus selepas anak dinikahkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dia tidak sangka 'gelagatnya' menjadi perhatian ramai berikutan rasa cinta terhadap arwah isteri yang berkongsi hidup selama 36 tahun sebelum meninggal dunia pada Mac 2012 akibat kanser.

"Ketika majlis persandingan di rumah menantu pula, saya bawa potret isteri yang lebih besar untuk bergambar kenangan bersama anak dan menantu.

"Bercerai kasih talak tiada, kau pergi sebelum aku bersedia melepaskannya, itu apa yang saya rasa dan memang tiada niat lain, cuma ingin menjadikan saat itu sebagai kenangan kerana arwah sentiasa di hati saya dan bukan saja gambarnya saya tatap setiap hari, tetapi boleh katakan setiap hari juga saya menziarahi kubur arwah," katanya.

Dia juga berharap lima anaknya termasuk yang bongsu menjalani hidup berkeluarga dengan aman damai hingga ke akhir hayat dan jika kisah ini dapat menjadi inspirasi kepada semua pasangan suami isteri, dia bersyukur.

Omar berkata, antara kenangan manis bersama isterinya adalah menunaikan ibadah haji bersama pada 2005 dan antara pesanan arwah adalah menjaga anak mereka dengan baik.

Sementara itu, jurugambar Mohd Hafizan Ilias yang memuat naik beberapa gambar berkenaan berkata, dia terasa perlu berkongsi dengan orang ramai kisah cinta sejati warga emas itu.

"Sepanjang empat tahun saya menjadi jurugambar perkahwinan saat atau peristiwa itu yang menyentuh perasaan saya.

"Biasa kita lihat ibu bapa menangis sedih ketika melihat anak mereka sudah menjadi isteri atau suami, tapi kali ini saya rasai pengalaman dan perasaan sebak berbeza apabila seorang bapa merakamkan gambar kenangan perkahwinan anaknya bersama potret arwah isterinya.

Pada malam Jumaat lalu, Mohd Hafizan memuat naik gambar bersama kisah ringkas Omar bersama potret isterinya dengan anak bongsunya Nurul Hanim yang baru saja selesai bernikah ketika itu.

Gambar itu kemudian dikongsikan lebih 20,000 pengguna Facebook sejak Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 5:53 PM