Amir Abd Hamid


Reyhanli (Turki): Dalam kesukaran, dipermudahkan. Itu yang berlaku kepada suami isteri pelarian Syria kerana walaupun dikurniakan lima anak orang kurang upaya (OKU), Allah SWT berikan kemudahan lepas daripada berdepan perang di negaranya.

Abdul Kadir, 60, dan Aminah Hatib, 51, memiliki lima anak yang menghidap penyakit saraf kronik sejak kecil.

Bagaimanapun, 'Anak syurga' itu, Abdullah, 31, Manar, 30, Mustafa, 29, Ahmad, 28 dan Amjad, 25, menjadi pencetus kepada pihak bertelagah di Syria dan kerajaan Turki memudahkan perjalanan mereka sekeluarga ketika keluar dari Syria pada Oktober 2012.

Abdullah meninggal dunia baru-baru ini.

"Kami sekeluarga keluar dari Ansari, Aleppo pada Oktober 2012 dalam keadaan sangat lancar dan mudah.

"Ketika itu konflik di tempat kami masih dalam peringkat awal. Rakan membantu kami keluar dari tempat asal dengan menggunakan kenderaannya.

"Perjalanan sangat lancar kira-kira tiga jam sahaja sudah tiba di Babul Hawa sempadan Syria-Turki dan sebaik melihat kami, imigresen kerajaan Turki benarkan masuk tanpa pasport pun," katanya kepada Harian Metro di sini.

Dia ditemui ziarah bantuan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) untuk pelarian Syria menghadapi musim sejuk dan keluarga itu turut diberikan sumbangan untuk ringankan kehidupan.

Misi bantuan musim sejuk ini di sempadan Turki-Syria bermula 25 Januari lalu hingga 4 Februari depan.

Ketua misi Johari Ismail berkata, bantuan Syria anjuran Muslim Care adalah berterusan dan orang ramai masih boleh memburu pahala, salurkan sumbangan tunai ke akaun Maybank (5644-9041-3882) atau Bank Islam (140-140101-4740) atau ke akaun Bank Muamalat (14-0100-0765-4717).

Maklumkan sumbangan anda dengan menghantar mesej pesanan ringkas atau WhatsApp kepada Johari Ismail di talian 016 9978323 atau Zakaria Abd Latiff (012 6935938).

Sukarelawan yang juga Ketua Jabatan Paedetrik Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Anissiham Zainal Abidin berkata, anak berkenaan 'neurogenetik disorder'.

"Pergerakan terjejas dan fungsi juga terjejas. Kena dijaga dengan rapi sebab berisiko tercekik air liur selain kulit melecet," katanya.

Dia yang juga doktor pakar Unit Rapi Hospital Selayang kagum dengan penjagaan rapi ibu bapa anak syurga itu yang mengurus termasuk mengalih dan bersihkan anak itu setiap sejam.

"Disebabkan itu juga mereka tidak bekerja dan memerlukan pertolongan pihak lain untuk membiayai hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 2:01 PM
MANAR (tiga dari kanan), Mustafa (baju belang), Ahmad (baju biru) dan Amjad (baju kelabu) yang terlantar diperhatikan Abdul Kadir (kanan) dan Aminah (dua dari kanan). Mereka dikunjungi sukarelawan Muslim Care yang memberikan sumbangan dalam misi bantuan musim sejuk Syria. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
MANAR (tiga dari kanan), Mustafa (baju belang), Ahmad (baju biru) dan Amjad (baju kelabu) yang terlantar diperhatikan Abdul Kadir (kanan) dan Aminah (dua dari kanan). Mereka dikunjungi sukarelawan Muslim Care yang memberikan sumbangan dalam misi bantuan musim sejuk Syria. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli