SEBAHAGIAN peserta Program Mobiliti Ke Maejo University Chiang Mai bergambar kenangan.
SEBAHAGIAN peserta Program Mobiliti Ke Maejo University Chiang Mai bergambar kenangan.
MEMASUKI kawasan perkampungan tradisional di Hmong Village yang memberi peluang mendekati suku kaum Hmong.
MEMASUKI kawasan perkampungan tradisional di Hmong Village yang memberi peluang mendekati suku kaum Hmong.
HUBUNGAN erat terjalin tanpa mengira bangsa dan budaya.
HUBUNGAN erat terjalin tanpa mengira bangsa dan budaya.
Siti Fatimah Abdullah

Tujuh siswa Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berpeluang menyertai Program Mobiliti Ke Maejo University Chiang Mai, Thailand selama empat bulan menyifatkan ia antara pengalaman berharga untuk menyelami kehidupan masyarakat dan budaya tradisi antarabangsa.

Siswa Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Sivaranjini Anbalagan, 22, berkata program itu memberi peluang kepadanya untuk menimba pengalaman berbeza sekali gus menyerlahkan keyakinan diri di persada antarabangsa.

“Pengalaman mengikuti program ini sangat menarik dan saya juga teruja kerana sebagai duta kecil, kami perlu memperkenalkan budaya dan sejarah negara kepada pelajar asing.

“Ia juga mengajar kami untuk berfikir secara kritis, kreatif dan mempelajari serta memahami konsep perjalanan budaya asing orang lain,” katanya.

Rakannya, Nur Syahiirah Zainal Abidin, 22, juga menyifatkan program berkenaan sebagai platform membangunkan kemahiran siswa secara holistik dengan memberi pendedahan ke arah pembentukan sikap positif, perpaduan dan kreativiti.

Menurutnya, program yang menghimpunkan siswa dari negara lain seperti Indonesia dan Jerman itu banyak memberi pengalaman berbeza kepadanya sekali gus berpeluang menambah kenalan baru.

“Di samping teruja mengunjungi destinasi tarikan pelancong, kami juga belajar dan menambah kenalan baru yang berbeza budaya, bahasa dan agama.

“Misalnya, dalam kumpulan saya, ada siswa dari Jerman dan ini memberi peluang untuk bertukar-tukar maklumat, budaya serta bahasa.

“Bukan itu saja, kami bersama-sama melaksanakan tugasan diberikan dan ini menambahkan lagi kefahaman masing - masing berkenaan kepentingan menjalankan tanggungjawab secara berkumpulan,” katanya.

Antara aktiviti yang dilakukan termasuk memasuki kawasan perkampungan tradisional di Hmong Village dan berpeluang mendekati suku kaum Hmong yang masih kuat berpegang dengan adat serta budaya.

Turut diadakan, pameran gerai yang mempamerkan budaya dan makanan tradisi negara masing - masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 11:03 AM