PESERTA dari pelbagai negara yang menyertai forum bergambar kenangan sebagai tanda persahabatan sudah terjalin.
PESERTA dari pelbagai negara yang menyertai forum bergambar kenangan sebagai tanda persahabatan sudah terjalin.
Siti Fatimah Abdullah

Siswa Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terpilih mengikuti program 5th International Youth Forum on Historical Reconciliation anjuran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini bukan saja berpeluang memperoleh pengalaman baru, malah turut merasai pelbagai pengembaraan mendebarkan.

Pelajar program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Siti Hasmizan Zamri, 22, berkata pengembaraan itu bukan saja mencabar kekuatan fizikal dan emosi, malah turut memberi kefahaman jelas mengenai sejarah Korea yang selama ini tidak diketahui.

“Banyak pengalaman mendebarkan terpaksa saya harungi, antaranya menuruni laluan berbukit curam dan sempit dalam cuaca sejuk.

“Badan pula terpaksa dibongkokkan selain sesekali kepala terhantuk di siling dan dinding terowong yang dipenuhi bekas lubang yang pernah ditanam dinamit dan bom.

“Ia pengalaman mendebarkan tapi pada masa sama memberi banyak pengalaman berguna,” katanya.

Peserta turut berpeluang menyaksikan tayangan video di DMZ Theater yang memaparkan kesengsaraan rakyat negara itu selain mengunjungi Imjingak Park, muzium yang menyimpan khazanah ketika perang saudara Korea seperti pakaian, kereta api dan Freedom Bridge.

Forum lima hari berkenaan menghimpunkan peserta daripada pelbagai negara, antaranya Indonesia, Myanmar, Taiwan, Uganda, China dan Mongolia.

Seorang lagi peserta, Sivaranjini Anbalagan, 22, menganggap dirinya bertuah terpilih mewakili Malaysia sebagai duta kecil ke forum berkenaan.

Menurutnya, dia bukan saja berpeluang berjumpa rakan pelbagai negara, malah membantu membina personaliti unggul, kemahiran komunikasi dan menyerlahkan keyakinan.

“Pada mulanya pensyarah mencadangkan supaya mencuba tawaran UNESCO dengan menulis esei. Tidak sangka, ia berjaya hingga akhirnya terpilih mengikuti forum ini.

“Pengalaman ini sangat istimewa kerana kami juga bertindak sebagai duta kecil untuk memperkenalkan budaya dan sejarah negara kepada pelajar asing.

“ Ini satu pendedahan hebat sekali gus memberi peluang kami membina keyakinan diri, berfikir secara kritis dan kreatif serta berani,” katanya yang mengikuti program Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa di UUM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 5:30 AM