YUHAN (tengah) bersama peserta program.
YUHAN (tengah) bersama peserta program.
SERAMAI 78 peserta dari 14 negara seluruh dunia menyertai program GBPL.
SERAMAI 78 peserta dari 14 negara seluruh dunia menyertai program GBPL.
Nordiana Shafiee


Yuhan Satapo, 25, siswa Universiti Utara Malaysia (UUM) bertuah apabila menjadi antara 15 peserta Asia bersama 78 peserta dari 14 negara seluruh dunia yang terpilih menyertai Global Project-Based Learning (GPBL). Ia berlangsung di Shibaura Institute of Technology (SIT) di Jepun, baru-baru ini.

GBPL yang berlangsung 11 hari itu adalah arena pembelajaran antarabangsa yang dihoskan Shibaura Institute of Technology bagi menghubungkan siswa Jepun dan asing untuk membincangkan isu pendidikan serta bertukar idea selain mencari jalan penyelesaian.

Yuhan berkata, sepanjang program itu, peserta membincangkan pelbagai isu dalam usaha mewujudkan penyelesaian yang lebih baik dan kreatif.

Ia bertemakan ekologi, tenaga, eko-pelancongan, pembangunan komuniti, perkhidmatan, mobiliti, kebajikan dan sistem perubatan, pencegahan bencana, komunikasi serta kepimpinan global.

Katanya, setiap hari dia belajar perkara baru dan menambah pengalaman walaupun berdepan detik sukar untuk menyesuaikan diri, namun peserta lain sentiasa membantu yang menjadikan dia berasa positif.

“Daripada program ini, saya berpeluang berinteraksi dengan peserta dari pelbagai negara dan menyedari betapa pentingnya menghargai kepelbagaian budaya apabila kami mula mengenali antara satu sama lain.

“Saya gembira kerana berpeluang menyertai GBPL dengan membawa nama UUM ke peringkat antarabangsa.

“Sekali gus menjadi satu pencapaian peribadi, malah saya juga berjaya mendapat biasiswa SIT yang terbuka kepada semua penuntut universiti di Asia.

“Setiap calon dikehendaki menghasilkan esei, selain daripada resume dan bukti kepimpinan yang lain,” kata penuntut Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam berasal dari Thailand itu.

Sementara itu, Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, UUM College of Business (COB), Dr Hendrik Lamsali meluahkan rasa gembira dengan pemilihan Yuhan yang menunjukkan kecemerlangan dari segi akademik, sahsiah dan kepimpinan.

Menurutnya, penyertaan itu adalah satu pengiktirafan antarabangsa kepada kualiti dan pencapaian siswa UUM.

“Kejayaan ini juga pengiktirafan kepada Chapter Beta Gamma Sigma UUM yang masih baru, tapi berjaya menampilkan ahli cemerlang.

“Selain mendapat tajaan biasiswa SIT, Yuhan turut berpeluang mengembangkan rangkaian di Jepun, secara tidak langsung membawa nama UUM ketika berada di sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 2:10 PM