ANTARA pistol yang dirampas daripada suspek kes culik yang mati ditembak polis, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
ANTARA pistol yang dirampas daripada suspek kes culik yang mati ditembak polis, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


POLIS menembak mati dua penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan membabitkan satu kes penculikan ahli perniagaan dengan wang tebusan 10 juta Singapura Dollar di Ladang Kelapa Sawit Lot 193, Jalan Meta, Sekakap, Mersing, awal pagi, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Shafie Ismail berkata, suspek ditumpaskan Bahagian D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) dan dalam Op Kesan dan Op Tutup, 2 pagi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota polis memburu dua penjenayah terbabit selepas menerima maklumat berhubung kes penculikan ahli perniagaan berusia 41 tahun pada 8.45 pagi, 17 Disember lalu.

“Mangsa diculik empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan dua pistol ketika keluar dari rumahnya ke warung di Taman Gaya, Ulu Tiram.

“Berikutan itu, keluarga mangsa membuat laporan polis selepas suspek meminta wang tebusan 10 juta Singapura Dollar daripada mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

Katanya, bertindak atas laporan itu, polis menubuhkan pasukan siasatan khas dibantu Pasukan Siasatan Khas Bukit Aman termasuk D8 dan Pasukan Siasatan Teknikal.

“Pada hari keenam, pihak keluarga bersetuju membayar seperti mana diminta dan pada 8.30 malam semalam, pasukan khas berjaya mengesan kedudukan mangsa yang ditahan di dalam kereta di ladang di Mersing.

“Ketika pasukan serbuan menghampiri kereta terbabit, mereka dihujani beberapa das tembakan mengakibatkan seorang pegawai serbuan cedera.

“Pasukan serbuan membalas tembakan dan suspek sekali lagi melepaskan beberapa das lagi sebelum melarikan diri ke hutan sawit,” katanya.

Katanya, polis meneruskan Op Kesan dan Op Tutup di Mersing serta daerah sempadan dengan bantuan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam.

“Hasil pemeriksaan, seorang pegawai serbuan cedera akibat terkena tiga das tembakan, namun dua daripadanya menembusi kaki kiri dan paha kanan, manakala satu lagi terkena kepala tali pinggang.

“Mangsa yang berjaya diselamatkan cedera di belakang badan,” katanya, pihak polis sebelum itu turut mengesahkan mengenai hasrat suspek membunuh mangsa selepas menerima wang tebusan.

Katanya, pada 2 pagi tadi, pasukan serbuan bertembung semula dengan dua penculik di ladang kelapa sawit.

“Kedua-dua penculik melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan dan berbalas tembakan sebelum kedua-duanya tumpas,” katanya.

Katanya, dua pucuk pistol semi auto 9 milimeter (mm) 45 mm jenis kaliber ditemui pada dua penjenayah yang bertopeng dan berusia 39 dan 52 tahun itu.

“Pasukan siasatan dan pasukan Forensik sedang menguruskan dua tempat kejadian,” katanya.

Katanya, anggota yang cedera dalam keadaan stabil dan dirawat di hospital swasta di daerah ini.

“Kedua-dua kes disiasat dibawah Sek 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (FIPA) 1971.

“Tindakan susulan polis adalah untuk mengesan rakan sepenjenayah yang terbabit dalam penculikan ini yang masih bebas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 1:45 PM