Gambar yang dirakam pembaca petang semalam, menunjukkan arca tulisan TEMERLOH yang ditenggelami banjir.
Gambar yang dirakam pembaca petang semalam, menunjukkan arca tulisan TEMERLOH yang ditenggelami banjir.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan 6,000 anggotanya bagi membantu mangsa banjir di Johor, Pahang, Kelantan dan Sabah.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, aset dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga diletakkan dalam bersiap siaga bagi melakukan operasi membantu mangsa banjir.

Setakat 9 malam tadi, 20,104 mangsa ditempatkan di 187 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri terjejas banjir, yang berkurangan sedikit berbanding 20,354 orang petang semalam.

Johor dan Pahang mencatatkan bilangan mangsa yang ramai berbanding Kelantan, Selangor, Perak serta Sabah dan Sarawak. Semua pusat pemindahan di Negeri Sembilan dan Terengganu pula telah ditutup.

Di Johor, 6,954 mangsa ditempatkan di 61 pusat pemindahan malam ini berbanding 7,316 petang semalam.

Segamat mencatatkan mangsa paling ramai iaitu sebanyak 5,258 orang diikuti Tangkak (1,458), Muar (219) dan Kluang (19).

Di Pahang, 6,830 mangsa kini ditempatkan di 102 PPS berbanding 7,127 petang semalam.

Di Kelantan, jumlah mangsa di 11 PPS di jajahan Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Puteh dan Tanah Merah, meningkat kepada 343 orang malam ini berbanding 303 orang petang semalam.

Di Perak, 496 mangsa kini ditempatkan di sembilan PPS malam ini berbanding 445 petang tadi, manakala Selangor, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di tiga PPS di Sabak Bernam ialah 352 orang malam ini, berbanding 337 orang pada petang semalam.

Mangsa banjir di Sarawak kekal 5,084 orang daripada 769 keluarga dari daerah Beluru, Niah dan Marudi di Miri setakat malam ini, manakala Sabah, 45 mangsa banjir daripada 10 keluarga masih berada di PPS Dewan Kampung Binsulung, daerah kecil Paitan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 12:38 AM