Daerah Kemaman antara kawasan paling teruk dilanda banjir di Terengganu. FOTO Bernama
Daerah Kemaman antara kawasan paling teruk dilanda banjir di Terengganu. FOTO Bernama
Shamsul Munir Safini dan Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Lumpur: Bah semakin melimpah apabila bilangan mangsa banjir di Pantai Timur, Perak dan Perlis yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir meningkat kepada 78,498 orang sehingga 12 tengah malam ini berbanding 66,029 orang petang semalam.

Di KELANTAN, 31,808 mangsa banjir daripada 9,032 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir berbanding 26,854 orang petang semalam.

Memori 2004 turut kembali diperkatakan apabila air sungai Kelantan mula ‘singgah’ di beberapa kawasan di bandar Kota Bharu.

Sehingga tengah malam ini, bulatan Tuan Padang (Bulatan Jam Besar), satu kilometer dari tebing sungai di Tambatan Diraja mula banjir dengan paras air 0.5 meter.

Selain itu Jalan Temenggung turut dinaiki air setinggi 0.2 meter, Jalan Gajah Mati (0.3 meter), Jalan Tok Hakim (0.5 meter) berhampiran pusat membeli-belah Parkson dan Jalan Sultanah Zainab (0.2 meter).

Berdasarkan portal ebanjir Kelantan, paras air Sungai Kelantan di Tambatan Diraja sehingga 12 tengah malam ini kekal pada paras bahaya, meningkat 6.54 meter berbanding 6.34 meter petang semalam.

Di TERENGGANU, 27,736 orang daripada 6,601 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir berbanding 22,933 orang daripada 5,560 keluarga petang tadi.

Di PAHANG, 15,944 orang ditempatkan di 119 pusat pemindahan banjir di lapan daerah berbanding 14,622 orang petang semalam.

Di PERAK, 2,755 orang daripada 627 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir berbanding 1,650 orang daripada 414 keluarga petang tadi.

Di PERLIS, mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 255 orang berbanding 143 orang petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 1:24 AM