Fattah dan Neelofa menjalankan tugas sebagai pelakon. FOTO HM
Fattah dan Neelofa menjalankan tugas sebagai pelakon. FOTO HM
Michelle Gun


Kuala Lumpur: Pengacara dan usahawan jelita, Neelofa mengesahkan akan bergandingan semula dengan Fattah Amin dalam sebuah drama yang akan memulakan penggambaran pada Mac ini.

Menurut bintang drama bersiri popular Suri Hati Mr Pilot itu, tawaran terbabit datang pada November lalu.

"Disebabkan tawaran itu sudah lama dapat, saya kurang pasti sekiranya ada perubahan nanti," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran minyak wangi Awal Ashaari dan Scha Alyahya, di sini, hari ini.

Menyedari gandingannya dengan Fattah bakal menjadi bualan hangat orang ramai, Neelofa berkata, adalah tidak adil apabila ada pihak tertentu menuduh dia dan pelakon itu memberi harapan palsu kepada peminat.

"Kami hanya menjalankan tugas sebagai pelakon. Saya tidak boleh mengawal andaian, impian serta angan-angan peminat yang mahukan kami ke jenjang pelamin kerana itu semua diciptakan mereka," katanya.

Sementara itu, Neelofa menafikan dia bergaduh dengan Fattah seperti digembar gemburkan sebelum ini.

"Hubungan saya dengan Fattah sekadar rakan sahaja dan saya hanya berjumpa dengan dia di acara yang memerlukan kami hadir bersama.

"Fattah seorang yang sangat berterus-terang mengenai perasaannya dan tidak adil apabila ada pihak menghukumnya," katanya.

Menurut Neelofa, Fattah sudahpun meminta maaf kerana tersilap memberitahu media sudah bertemu dengan keluarganya.

"Sebenarnya Fattah tersilap dengar soalan yang ditanyakan pihak media dan dia sudah meminta maaf kepada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 8:56 PM