Fattah tidak pernah buat kenyataan. FOTO HM/Halimaton Saadiah Sulaiman
Fattah tidak pernah buat kenyataan. FOTO HM/Halimaton Saadiah Sulaiman
Syanty Octavia Amry


Putrajaya: Pelakon Fattah Amin menafikan dia akan mengadakan majlis pertunangan tahun ini atau sebarang pengumuman mengenai hubungannya dengan pelakon Neelofa seperti yang digembar gemburkan sebelum ini.

Fattah ketika ditemui berkata, dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk membuat apa-apa pengumuman mengenai hubungannya dengan pelakon dan pengacara jelita itu.

"Tiada majlis pertunangan atau sebarang berita yang hendak saya umumkan. Bagaimana cerita seperti ini boleh timbul sedangkan saya tidak pernah memberi apa-apa kenyataan mengenai hubungan saya dengan Neelofa.

"Apa yang saya boleh katakan kepada semua, doakanlah yang baik-baik untuk saya. Insya-Allah jika ada, saya akan umumkan kepada semua," katanya.

Fattah ditemui pada sesi ramah mesra dengan 10 pemenang peraduan Safi Men Adventure bersama Fattah Amin di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Menurut Fattah, dia masih berkawan seperti biasa dengan Neelofa, malah mereka juga bakal digandingkan dalam sebuah drama bersiri tidak lama lagi.

“Kami masih berkawan seperti biasa dan tiada masalah untuk bekerjasama. Insya-Allah dalam bulan Mac nanti kami akan bergandingan bersama dalam sebuah drama bersiri.

"Bagaimanakah jalan ceritanya saya masih belum boleh beritahu lagi kerana ia masih dalam proses perbincangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 7:54 PM