FATTAH enggan ulas lanjut gosip bercinta dengan gandingannya dalam drama bersiri Suri Hati Mr Pilot.
FATTAH enggan ulas lanjut gosip bercinta dengan gandingannya dalam drama bersiri Suri Hati Mr Pilot.
Syafil Syazwan Jefri


Penangan drama bersiri Suri Hati Mr Pilot ternyata memberi impak besar kepada pelakon, Fattah Amin sehingga dia dikatakan bercinta dengan gandingannya, Neelofa.

Fattah bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu sebaliknya mengakui masih bersendiri selepas berpisah dengan bekas kekasihnya, Sherry Ibrahim.

“Saya belum jumpa pengganti. Semua sedia maklum saya baru saja berpisah dengan bekas kekasih dan fokus kini hanyalah kerjaya,” katanya.

Namun, Fattah tidak menafikan Neelofa memiliki ciri-ciri wanita idamannya.

“Sebelum ini pun saya pernah beritahu dalam satu program TV Neelofa ada kriteria wanita idaman saya,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan baiknya dengan pelakon jelita itu, Fattah meminta peminat mendoakan yang terbaik.

“Doakan yang terbaik buat kami. Mungkin ramai peminat yang masih terbuai dengan karakter lakonan kami dalam drama dan saya sangat hargai maklum balas itu.

“Sebagai pelakon, saya rasa lakonan saya dihargai ramai,” katanya.

Fattah juga mengakui dia ada berhubung dengan Neelofa namun semuanya atas dasar kerja semata-mata.

Ditanya mengenai kontroversi baru-baru ini, dia dan pengurusannya dikatakan semakin sombong, Fattah pantas menafikan dakwaan itu.

“Semua ini salah faham. Setiap hari, saya dan pengurusan menerima lebih 1,000 kiriman mesej menerusi WhatsApp. Itu belum campur lagi e-mel dan sebagainya.

“Ada di antara mesej itu daripada rakan media yang mahu menetapkan jadual fotografi dan ada juga daripada peminat. Apabila terlalu banyak, kadang-kadang terlepas pandang dan orang fikir saya sudah lupa diri.

“Mereka yang rapat dengan saya termasuk rakan media sedia maklum saya tidak pernah berubah. Saya masih Fattah yang sama,” katanya.

Dia juga memohon maaf sekiranya ada pihak yang terasa hati dengan tingkah lakunya.

Beralih perkembangan terkini, dia yang baru sahaja melancarkan jenama pakaian FATTAHAMINXFAR8 hasil kolaborasinya dengan pemilik Altelia Amani, Mohamad Farid Omardin bakal terikat dengan penggambaran telefilem Bayangan Semalam.

“Saya terima tawaran ini kerana genrenya psiko thriller. Karya ini akan memaparkan sisi berbeza saya yang peminat belum pernah lihat.

“Naskhahnya sangat menarik dan sebagai pelakon saya mahu sajikan sesuatu yang berbeza,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 2:25 PM