ABDUL Fattah (dua dari kanan) bersama Tan (dua dari kiri) menunjukkan produk sejuk beku diapit Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Angkasa Sdn Bhd Shaharudin Mohamed (kanan) dan Louis Tan.
ABDUL Fattah (dua dari kanan) bersama Tan (dua dari kiri) menunjukkan produk sejuk beku diapit Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Angkasa Sdn Bhd Shaharudin Mohamed (kanan) dan Louis Tan.

MyAngkasa Holdings Sdn Bhd (MyAngkasa) memperkenalkan sembilan produk makanan sejuk beku baru sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Saudee Group Berhad (Saudee) dan MyAngkasa.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fatah Abdullah berkata, kerjasama itu dijalinkan selepas pihaknya melihat potensi pemasaran produk sejuk beku di Malaysia yang semakin berkembang pesat.

“Kita mahu rebut peluang dalam pasaran yang luas selain memberi peluang kepada ahli koperasi di seluruh negara dalam program ini. Ini adalah strategi Angkasa untuk menjayakan hasrat kerajaan yang ingin melihat koperasi menjadi sektor yang menjana ekonomi negara. Malah pada tahun lepas, dianggarkan koperasi menyumbang RM35 bilion bagi keluaran dalam negara kasar (KDNK),” katanya.

Perjanjian ini membolehkan MyAngkasa membuat penjualan dan pemasaran makanan sejuk beku halal kepada ahlinya. Ia dijangka memberi faedah yang signifikan kepada Saudee Group Sdn Bhd dan MyAngkasa Sdn Bhd.

Antara produk MyAngkasa yang dijual di pasaran adalah Premium Burger, MyAngkasa Mini Premium Burger, MyAngkasa Beef Jumbo Sausage dan MyAngkasa Black Pepper Jumbo Sausage.

Turut dijual MyAngkasa Cheese Jumbo Sausage, MyAngkasa Grill Jumbo Sausage, MyAngkasa Chicken Bites, MyAngkasa Mexicana Chicken Bites dan MyAngkasa Swiss Chicken Bites.

“Kesemua produk mendapat sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan melalui proses meyakinkan untuk pengguna Islam sebelum dipasarkan,” katanya.

Perjanjian itu dimeterai antara Presiden Ang­kasa, Datuk Abdul Fatah Abdullah dan Pengarah Eksekutif Saudee Group, Louis Tan. Turut hadir Pengarah Urusan Saudee, Tan Klang Klim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 11:14 AM