Kelana Jaya: MyANGKASA Services Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat milik penuh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) melancarkan perkhidmatan perniagaan tambah nilai komunikasi dan pembayaran bil dikenali sebagai ‘PAY4ALL’.

Sistem lengkap dan pertama di Malaysia itu menggunakan peranti berasaskan platform android itu bagi kegunaan rangkaian kedai dan ahli di bawah koperasi seluruh negara yang berdaftar dengan ANGKASA.

Presiden ANGKASA yang juga Pengerusi MyANGKASA Holdings Sdn Bhd, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, matlamat utama pelancaran perkhidmatan perniagaan PAY4ALL adalah untuk membina satu rangkaian perniagaan koperasi yang memberi manfaat kepada ahli koperasi khasnya.

“Sejumlah 8.4 juta ahli dan lebih 8,000 koperasi berdaftar dengan kita dapat menggunakan set peranti PAY4ALL ini selain menjana pendapatan lebih tinggi kepada ANGKASA,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian di sini, semalam.

Majlis pertukaran dokumen perniagaan itu dilakukan antara Pengerusi MSSB, Datuk Kamarudin Ismail dan Penasihat Kehormat Koperasi Pembangunan Belia Daerah Langkawi (KOPBEL), Mohd Azim Othman dengan disaksikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin.

Abdul Fattah berkata, MSSB bekerjasama dengan KOPBEL serta Aussiemas Group di bawah Pay4all Marketing (M) Sdn Bhd sebagai pengendali dan penyedia teknologi perkhidmatan itu.

“PAY4ALL adalah penyelesaian kepada perniagaan runcit telekomunikasi terutama di bawah koperasi untuk bersaing dan memulakan perniagaan tambah nilai telekomunikasi dan pembayaran bil sama.

“Pasarannya bernilai berbilion ringgit setahun dalam kalangan 11 juta pengguna talian telefon mudah alih di Malaysia. Ia bertindak dalam sistem yang memberikan peluang peniagaan dan penyelesain sama ada dalam bentuk tunai atau atas talian,” katanya.

Beliau berkata, PAY4ALL adalah perniagaan yang beroperasi 365 hari setahun, tiada caj bulanan kepada usahawan kecuali terminal kad kredit dan boleh diakses 24 jam sehari melalui sistem pembayaran tunai atau atas talian serta dihubungkan dengan bank bagi pembayaran MEPS (Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 6:22 AM