Mangsa banjir di PPS SK Kerilla, Tanah Merah bersedia mengambil makanan yang digugurkan Unit Udara PDRM. FOTO Azlan Hafeedz
Mangsa banjir di PPS SK Kerilla, Tanah Merah bersedia mengambil makanan yang digugurkan Unit Udara PDRM. FOTO Azlan Hafeedz
Oleh Wartawan Harian Metro


Kuala Lumpur: Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Pahang dan Perak terus meningkat, manakala di Terengganu berkurangan dan Johor kekal menjadikan keseluruhan yang dipindahkan 235,803 orang di lima negeri tengah hari ini berbanding 208,334 orang malam tadi.

Negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga mencatatkan peningkatan ketara apabila 161,145 mangsa banjir ditempatkan di 250 PPS berbanding 134,139 orang malam tadi .

Di TERENGGANU, bilangan mangsa banjir ditempatkan di PPS berkurangan kepada 32,699 orang dan mereka ditempatkan di 77 PPS pagi ini berbanding 33,292 orang malam tadi.

Di PAHANG, bilangan mangsa banjir kembali meningkat kepada 33,225 orang membabitkan 8,379 keluarga yang ditempatkan di PPS, berbanding 30, 962 orang daripada 7,978 keluarga, malam tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontijen Pahang, Temerloh merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 12,021 orang (2,859 keluarga) dan mereka ditempatkan di 71 pusat pemindahan.

Di Jerantut pula, seramai 6,025 orang mangsa banjir membabitkan 1,440 keluarga ditempatkan di PPS.

Di PERAK, mangsa banjir di PPS turut meningkat kepada 7,813 orang daripada 2,069 keluarga berbanding 7,652 orang daripada 2,034 keluarga malam tadi.

Di JOHOR, mangsa banjir di PPS kekal dengan 328 orang daripada 84 keluarga hingga tengah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 12:35 PM