Junaidi Ladjana dan Mohd Ruzaini Zulkepli

[email protected]

 

Kota Kinabalu: Seramai 13 pemancing termasuk seorang tekong dan dua awak-awak yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mengalum dan Pulau Mantanani, Ahad lalu, selamat tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar, dekat sini, kira-kira 8 pagi tadi.

Ketibaan mereka itu disambut oleh Panglima Wilayah Laut 2 TLDM, Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya danPengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som.

Turut hadir menyambut ketibaan semua mangsa beberapa ahli keluarga yang datang seawal jam 7.30 pagi.

Sementara itu, Khairul Anuar berkata, bot nelayan nelayan itu ditunda oleh KD Jerong ke Pangkalan TLDM di Sepanggar.

"Kita bawa mereka ke sini bagi memudahkan rawatan sekiranya ada antara pemancing yang tidak sihat kerana di sini kemudahan kesihatan turut disediakan," katanya.

Sementara itu, Mohd Zubil turut menasihatkan semua pemilik bot supaya memasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) di bot masing-masing bagi memudahkan perhubungan sekiranya berhadapan dengan masalah.

Terdahulu, semua 13 pemancing dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka tidak kembali ke jeti Safma, di sini, Ahad lalu, sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 12:41 PM
Pemancing yang ditemui selamat bersama ahli keluarga, pegawai TLDM dan APMM. FOTO Edmund Samunting
Pemancing yang ditemui selamat bersama ahli keluarga, pegawai TLDM dan APMM. FOTO Edmund Samunting