EMMA Maembong.
EMMA Maembong.
Syanty Octavia Amry


Pelakon Emma Maembong mengakui pada mulanya dia berasa bimbang apabila digandingkan bersama pelakon berstatus suami orang.

Baginya, pengalaman artis lain yang pernah terkena perlu dijadikan pengajaran supaya tidak kena pada dirinya sendiri.

Namun begitu, dia bersyukur apabila kali pertama bergandingan dengan pelakon Hisyam Hamid, tiada sebarang masalah.

Malah, isteri Hisyam, Rosmawati Hanafi banyak membantu dalam memberi idea untuk membuatkan sesuatu babak itu lebih menarik.

“Saya tidak menafikan ketika menerima tawaran berlakon bersama Hisyam, saya bimbang bolehkah kami mendapatkan keserasian?

“Apatah lagi, Hisyam berstatus suami orang dan ia membuatkan saya berasa bimbang. Namun, selepas beberapa lama berada di lokasi penggambaran, saya berasa semakin selesa apatah lagi Rosmawati banyak membantu kami,” katanya.

Emma pertama kali bergandingan dengan Hisyam menerusi drama bersiri Sayang Papa Saya Tak? yang kini ditayangkan di saluran Astro Ria pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Berkongsi wataknya dalam drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu, Emma pertama kali menggalas dua karakter iaitu baik dan jahat.

“Saya memegang watak Raisha iaitu isteri kepada Hisyam, seorang yang mata duitan. Ikutkan watak saya tidaklah jahat, tetapi disebabkan dia seorang yang gila duit mungkin orang akan nampak jahat.

“Pada masa sama, saya juga anak yatim dan ada sebab mengapa menjadi mata duitan yang pastinya sebab itu untuk kebaikan.

“Untuk mengetahui sebab sebenar saya jadi mata duitan kenalah menonton drama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Emma juga mengakui bukanlah seorang yang tamak dalam menerima tawaran.

Baginya, selesaikan dulu tawaran lebih baik untuk dia fokus terhadap sesuatu watak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 11:11 AM