SYAZWAN mahu watak aksi yang mencabar seperti dalam filem KL Special Force, KL Gangster dan seumpamanya. -FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
SYAZWAN mahu watak aksi yang mencabar seperti dalam filem KL Special Force, KL Gangster dan seumpamanya. -FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Syanty Octavia Amry

SEDAR pelakon kini lebih terdedah dengan watak pilihan penonton, Syazuwan Hassan, 29, berharap satu hari nanti dapat melakonkan watak yang dia impikan.

Mengimpikan watak aksi dan lasak, Syazuwan berkata, sehingga kini dia sering diberikan watak lelaki baik dan ‘sweet’.

Bagi Syazuwan yang bakatnya digilap menerusi Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016, sekali-sekala dia perlu melawan arus.

Ini kerana sebagai seorang pelakon dia juga mahu mencabar kemampuan diri dengan mencuba watak berbeza.

“Tidak saya nafikan jika kita lihat kebanyakan drama yang disajikan sekarang lebih kepada watak disukai penonton.

“Perkara itu memang bagus kerana ia membantu mempopularkan mereka.

“Namun, dari segi kepuasan sebagai pelakon ia belum memadai. Kalau boleh saya mahu pelbagai watak dan mencuba sesuatu yang baru dan lain daripada yang pernah saya bawakan.

“Saya mahu watak aksi yang mencabar seperti dalam filem KL Special Force, KL Gangster dan seumpamanya,” katanya yang popular dengan drama Terbaik Dariku.

Dia yang ditemui ketika pelancaran DFKL 2019 berkata, selain watak baik, dia juga berpeluang melakonkan karakter antagonis atau jahat.

Mengakui awalnya kurang selesa kerana penonton berasa menyampah, Syazuwan memandang perkara itu secara positif.

“Apabila sudah terbiasa bawa watak baik dan tiba-tiba bertukar watak jahat, ada penonton yang mula marah.

“Mereka yang sering mengikuti perkembangan saya lebih suka saya bawa watak baik.

“Namun, penonton terbuka kerana bagi mereka saya berjaya membawakan watak jahat dengan baik sehinggakan mereka berasa menyampah, tetapi tidaklah sampai hendak mengecam atau mengugut saya,” katanya.

Mengulas saingan dalam DFKL 2019, Syazuwan yang tercalon dalam Kategori Aktor Pilihan berkata, dia memilih tiga nama yang dilihat berpotensi untuk menang.

“Saya memilih Remy Ishak, Zul Ariffin dan Syafiq Kyle. Ini kerana selain drama lakonan mereka yang menarik, masing-masing popular dan hebat,” katanya.

Rancak membintangi drama, Syazuwan berharap akan terus diberikan peluang menjayakan filem lagi pada masa akan datang.

Setakat ini, dia sudah membintangi filem Pulang dan belum ada rezeki untuk beraksi di layar perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 4:30 AM