AFP

Madrid: Jurulatih Real Madrid Zinedine Zidane (gambar) menggesa pemainnya melupakan kekecewaan kekalahan pertama selepas 40 perlawanan apabila Sevilla bangkit pada saat akhir sebelum menang 2-1, awal pagi semalam.

Skuad Zidane dilihat hampir melebarkan penguasaan mereka di puncak liga apabila Cristiano Ronaldo membuka jaringan di Sanchez Pizjuan menerusi penalti pada pertengahan babak kedua.

Bagaimanapun kapten Real Sergio Ramos menceriakan penyokong tuan rumah dengan menanduk masuk ke gawang sendiri ketika pulang ke laman kelab lamanya.

Pemain gantian Stefan Jovetic menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir pada penampilan sulung La Liga bagi membolehkan Sevilla merapatkan jurang satu mata di belakang Real.

Kemenangan itu juga meletakkan Sevilla satu mata di atas Barcelona untuk menduduki tempat kedua namun Madrid masih mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding kedua-dua kelab itu.

“Saya bangga dengan mereka terhadap apa yang kami lakukan hingga kini,” jelas Zidane.

“Kami sedar perkara ini akan berlaku satu hari nanti dan inilah harinya, kini kami perlu bekerja keras dalam semua pertandingan.”

Ramos menerima sambutan lebih teruk daripada biasa di Seville selepas menaikkan kemarahan penyokong ultras tuan rumah ketika menjaring penalti lewat untuk seri 3-3 dalam perlawanan Piala Raja Sepanyol ketika Real mara 6-3 menerusi agregat Khamis lalu.

“Tak perlu salahkan sesiapa atau meminta maaf,” kata Ramos.

“Apabila kami menang, semua menang dan apabila kami kalah, begitu juga halnya. Kami tidak mampu menguasai perlawanan.”

Malah Zidane menolak sebarang dakwaan tumpuannya terganggu apabila Ramos tertanduk bola ke gawang sendiri untuk memberi inspirasi terhadap kebangkitan Sevilla pada saat akhir.

“Dia bermain dengan hebat. Saya amat gembira dengan apa yang dilakukannya. Dia bermain dengan personaliti hebat,” ujar Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 9:00 AM