PEMAIN Real Madrid Marco Asensio (dua dari kiri) meraikan kejayaan bersama  Zidane selepas tamat perlawanan.
PEMAIN Real Madrid Marco Asensio (dua dari kiri) meraikan kejayaan bersama Zidane selepas tamat perlawanan.
AFP

Madrid: Karim Benzema menjaringkan gol pada lewat permainan bagi membolehkan Real Madrid mencatat rekod baru bola sepak Sepanyol dengan 40 perlawanan tanpa kalah selepas seri 3-3 di Sevilla sekali gus layak ke suku akhir Copa del Rey.

Selepas menang 3-0 pada perlawanan pertama, Real yang turun tanpa Cristiano Ronaldo berdepan kemungkinan untuk tewas buat kali pertama dalam tempoh lapan bulan apabila gol sendiri Danilo serta ledakan babak kedua oleh Stefan Jovetic dan Vicente Iborra membolehkan Sevilla mendahului 3-1.

Bagaimanapun, penalti yang disempurnakan Sergio Ramos serta gol yang dihasilkan pemain gantian Benzema menyelamatkan Madrid yang kini mlepasi catatan 39 perlawanan tanpa kalah yang dicatat Barcelona musim lalu.

“Secara dasarnya mereka layak muncul pemenang tetapi kami melawan hingga wisel penamat,” kata pengurus Real Zinedine Zidane.

“Mereka lebih berhak untuk menang tetapi keputusan perlawanan ini terpaksa ditentukan menerusi aksi timbal balik dan adalah logik bahawa kami yang layak ke pusingan seterusnya.”

Kedua-dua jurulatih menurunkan barisan lebih lemah kerana masing-masing menyiapkan pasukan untuk pertembungan La Liga di Sanchez Pizjuan esok.

Bagaimanapun, Sevilla lebih dulu mengancam dan memaksa Madrid lebih banyak bertahan.

“Kami mencipta lebih banyak peluang, sekurang-kurangnya 15. Ia bukan mudah kerana kami menentang pasukan hebat Madrid,” kata jurulatih Sevilla Jorge Sampaoli.

“Kami hampir menang. Malangnya kami tidak menyempurnakan semua peluang kami dan itulah yang membezakan kedua-dua pasukan.”

Kiko Casilla terpaksa berhempas pulas menyelamatkan dua percubaan yang dihasilkan Sergio Escudero dan Joaquin Correa sebelum tandukan Danilo menerjah ke gawang sendiri selepas 10 minit permainan.

Ketiadaan Ronaldo dan Benzema memberi peluang buat Mariano Diaz untuk mempamer kebolehan dan dia hampir menyamakan kedudukan tetapi rembatannya sedikit tersasar daripada gawang Sevilla.

Sevilla membalas dengan percubaan Wissam Ben Yedder serta Luciano Vietto tetapi berjaya diselamatkan Casilla.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 5:10 AM