AFP

Madrid: Cristiano Ronaldo (gambar) menebus kesilapan mengkritik rakan sepasukan di Real Madrid dengan meledak gol selain membantu menghasilkan satu lagi jaringan ketika menang 3-1 di Levante kelmarin sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu La Liga Barcelona kepada sembilan mata.

Penalti disempurnakan Ronaldo serta gol sendiri penjaga gawang Levante Diego Marino meletakkan pelawat di depan sebelum Deyverson merapatkan kedudukan buat Levante sejurus sebelum rehat.

Begitupun, jaringan Isco selepas menerima hantaran Ronaldo memastikan tiga mata buat Real.

Real mengekori pasukan di tempat kedua, Atletico Madrid dengan empat mata tetapi mereka juga mempunyai kelebihan empat mata berbanding pasukan di tangga keempat, Villarreal selepas pasukan itu seri tanpa jaringan di Celta Vigo.

Barcelona mampu menjarakkan kedudukan dengan Atletico kepada lapan mata jika menang ke atas Rayo Vallecano.

Skuad kendalian Gary Neville, Valencia melonjak ke pertengahan liga selepas penjaga gawang Malaga Carlos Kameni menjaringkan gol sendiri bagi membolehkan lawan menang 2-1 di La Rosaleda.

Pengurus Madrid Zinedine Zidane tidak dapat menurunkan skuad utama apabila Dani Carvajal dan Sergio Ramos menjalani penggantungan manakala Marcelo, Luka Modric, Gareth Bale dan Karim Benzema cedera.

Begitupun, Ronaldo tetap diturunkan walaupun mencetus kontroversi minggu lalu apabila mendakwa Madrid sepatutnya mampu berada di puncak liga jika rakan sepasukannya bermain mengikut tahap dipamerkannya selepas kekalahan di tangan Atletico.

“Apabila berlaku pertukaran, ia akan menjadi lebih sukar, tapi jika semua pemain beraksi dengan kesungguhan dan tumpuan, pasti kami dapat memperoleh tiga mata,” kata Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 8:22 AM