AFP

Madrid: Dua jaringan Sergio Ramos (gambar) membolehkan Real Madrid kembali melakar kemenangan untuk mengatasi Malaga 2-1 di Santiago Bernabeu, awal pagi semalam dengan segelintir penyokong tuan rumah mengecam Cristiano Ronaldo.

Rekod 40 perlawanan tanpa tewas juara Eropah itu lebur selepas dua kali berturut-turut tewas kepada Sevilla dan Celta Vigo minggu lalu, namun selepas permulaan yang hambar kapten Ramos memastikan kelebihan empat mata di puncak liga.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu membuka jaringan apabila melonjak untuk menanduk sepakan penjuru Tomi Kroos pada minit ke-35.

Ramos memastikan gol ke-50 La Liga apabila meledak jaringan menerusi satu lagi hantaran Kross walaupun berada dalam kedudukan ofsaid.

Juanpi merapatkan kedudukan untuk Malaga selepas sejam dan mereka berpeluang meraih satu mata namun tindakan cemerlang Keylor Navas menafikan usaha Chory Castro.

Bagaimanapun kemenangan dibayar dengan harga yang mahal apabila Marcelo dan Luka Modric dikeluarkan kerana kecederaan, empat hari sebelum Real berdepan cabaran mengubah kekalahan 1-2 kepada Celta Vigo pada suku akhir Piala Raja Sepanyol.

Ketika Ramos menyelamatkan Real, Ronaldo bergelut dengan prestasi apabila gagal menggegar gawang selain diejek penyokong Madrid susulan permulaan hambar 2017.

“Kadangkala apabila anda berdepan kesukaran, anda perlukan penyokong untuk membantu dan berada di belakang anda,” menurut pengurus Madrid Zinedine Zidane.

“Saya tidak akan mengkritik penyokong kerana mereka membeli tiket. Namun dengan terlampau banyak perlawanan dan kecederaan, kadangkala pemain perlu dijaga dengan baik. Begitu juga jurulatih.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 10:24 AM