Lee (tengah), Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan (kanan) bersama Orang Besar Jajahan (OBJ) Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan (kiri) hadir di Majlis Makan Malam Amal MCPF Perak di hotel di Ipoh. FOTO MUHAIZAN YAHYA.
Lee (tengah), Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan (kanan) bersama Orang Besar Jajahan (OBJ) Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan (kiri) hadir di Majlis Makan Malam Amal MCPF Perak di hotel di Ipoh. FOTO MUHAIZAN YAHYA.
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Kerjasama antara kerajaan dan masyarakat menerusi inisiatif bandar atau kejiranan selamat perlu dibentuk untuk mencegah jenayah, selaras dengan usaha Malaysia sebagai negara maju.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dalam konteks Malaysia, hubungan antara kerajaan dan rakyat itu perlu untuk menangani jenayah menerusi reka bentuk persekitaran, pembangunan komuniti dan pendidikan yang tepat.

Katanya, bandar raya atau kejiranan yang selamat bermaksud ia bebas dari jenayah atau ketakutan terhadap jenayah.

“€œTerma ini sudah pun digunakan untuk inisiatif yang sama di negara-negara maju," katanya pada majlis makan malam MCPF Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, kerjasama rapat antara agensi penguatkuasa, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat perniagaan dan masyarakat juga mampu menyelesaikan jenayah serta meningkatkan kepercayaan terhadap polis.

"Sejak ditubuhkan, MCPF mempromosi inisiatif itu sebagai pendekatan kepolisan masyarakat terbaik, yang secara asasnya adalah idea MCPF untuk melahirkan persekitaran hidup yang selamat dengan mengurangkan kemungkinan berlakunya jenayah," katanya.

Menurutnya, inisiatif itu turut memerlukan kerjasama utuh antara semua pihak termasuk perancang dan arkitek bandar yang merancang reka bentuk sehingga ke pemaju yang membangunkan bandar, kakitangan awam yang menguruskan dan mereka yang menghuni bandar berkenaan.

"Di bawah konsep Pencegahan Jenayah Melalui Rekabentuk Persekitaran atau CPTED, reka bentukyang sesuai dan penggunaan efektif persekitaran fizikal sebenarnya mampu untuk mengurangkan jenayah serta meningkatkan kualiti kehidupan," katanya.

Selain menyumbang kepada pencegahan jenayah, beliau berkata, inisiatif itu juga bertujuan membentuk semangat kejiranan yang tinggi serta mengukuhkan kerjasama di kalangan masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia.

"Bersama-sama berusaha mencapai objektif untuk membentuk bandar atau kejiranan selamat juga akan mengukuhkan keharmonian kaum yang amat penting di dalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia," katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa jenayah perlu ditangani dari segenap sudut dan melibatkan semua pihak termasuk mereka daripada sektor pendidikan dan kehakiman, kerajaan dan ibu bapa.

Selain meneruskan program kesedaran mengenai masalah sosial di kalangan remaja, beliau berkata ibu bapa juga tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab mereka untuk menjaga anak-anak mereka.

"Ibu bapa perlu sentiasa memikirkan mengenai anak-anak mereka, terutama dari segi keselamatan mereka di luar rumah atau sekolah," katanya.

Beliau turut menyeru kerajaan supaya melaksanakan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih manakala pihak kehakiman perlu menilai semula peranan mereka untuk mengenakan hukuman berat kepada pesalah.

"Aktiviti kepolisan bukan hanya melibatkan anggota beruniform yang bersenjata serta menaiki kereta peronda. Apa yang kita turut perlukan adalah peningkatan dari segi pendidikan, kemahiran bahasa, kaunseling dan psikologi, perubatan forensik, teknologi komunikasi dan sains sosial.Tidak kurang penting adalah peningkatan integriti di semua peringkat," katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa juga perlu mencari jalan untuk menangani punca-punca jenayah termasuk penyalahgunaan dadah, tahap kemahiran keibubapaan yang rendah dan gejala sosial lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 11:58 PM