Ariffin (kiri) bersama Fauzi Awang Chik, 52, dan Nik Yusof Chek, 58, menunjukkan lakaran jambatan dicadangkan penduduk kampung sebelum ini. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
Ariffin (kiri) bersama Fauzi Awang Chik, 52, dan Nik Yusof Chek, 58, menunjukkan lakaran jambatan dicadangkan penduduk kampung sebelum ini. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Kira-kira 5,000 penduduk di pinggir Sungai Golok di sini berharap projek pembinaan jambatan dijanjikan kerajaan dilaksana segera bagi mengatasi masalah banjir lambat surut yang dihadapi mereka sejak 10 tahun lalu.

Sabtu lalu, kerajaan meluluskan cadangan membina jambatan menangani banjir di Jalan Kasban dekat Kampung Pohon Nibong, Pengkalan Kubor, di sini.

Penduduk, Ariffin Awang Chik, 55, berkata, dia gembira apabila masalah mereka akhirnya didengari dan penyelesaian jangka panjang bakal dilaksanakan.

Katanya, penduduk dari 13 kampung mudah terperangkap banjir dalam tempoh lama memandangkan air bertakung lambat surut disebabkan tiada saluran sempurna di laluan itu.

"Sebelum ini kami pernah cadangkan kepada pihak berwajib membina jambatan bagi mengelakkan banjir termenung (takungan air lambat surut), namun mereka katakan perkara itu tidak masuk akal.

"Kini terbukti suara kami didengari dan dengan saranan dibuat oleh Perdana Menteri (membina jambatan), saya yakin masalah banjir termenung tidak akan berulang lagi di 13 buah kampung di pinggir Sungai Golok ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Baginya, tidak kisah sama ada dibuat jambatan atau pembetung untuk alirkan air banjir, asalkan penyelesaiannya memberi manfaat jangka panjang.

"Terdapat dua tempat sesuai untuk membina saluran air keluar ke Sungai Golok, antaranya Kampung Pohon Nibong dan Kuala Kudung. Saya berharap kerja pembinaan dipercepatkan sebaik saja lulus peruntukan itu nanti," katanya.

Bagi Nik Yusof Chek, 58, sejak Jalan Kasban dibina, ia memberi banyak masalah kepada penduduk di sekitar kawasan itu.

Katanya, dengan keadaan kampung di kawasan rendah dan pembinaan jalan itu pula didakwa tidak dilengkapi sistem saliran secukupnya menyebabkan penduduk menderita air termenung yang lambat surut.

"Jika ada langkah penyelesaian lain, harapnya kita tidak menderita lama. Banjir ini pun walaupun kawasan lain dah lama surut, kami di sini baru dapat lalui jalan ini semalam. Itupun masih ada takungan air lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 10:48 AM