Haiza (kiri) Zizan dan Mira pada sidang media ABPBH 29 di Balai Berita.FOTO NSTP/SURIANIE MOHD HANIF
Haiza (kiri) Zizan dan Mira pada sidang media ABPBH 29 di Balai Berita.FOTO NSTP/SURIANIE MOHD HANIF
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Empat selebriti popular iaitu Zizan Razak, Mira Filzah, AG dan Haiza akan mengendalikan Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-29 (ABPBH29) yang bakal disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 8 Mei depan.

Majlis bertemakan #RESPEK turut menampilkan barisan artis terkenal yang bakal membuat persembahan seperti Datuk Jamal Abdillah, Ziana Zain, Hazami, Liza Hanim, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Siti Nordiana, Ebby Yus, Kaka &Waris, Shiha Zikir dan Syamel.

Tidak ketinggalan barisan penyampai anugerah seperti Shaheizy Sam, Syatilla Melvin, Erma Fatima, Umie Aida, Azrel Ismail, Idris Khan, Hafidz Roshdi, Saharul Ridzwan, Mia Ahmad, Erra Fazira, Siti Saleha, Redzuan Hashim, Esma Daniel, Zarina Zainuddin, Anis Al Idrus, Nana Sheme dan Ainan Tasneem.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH29 merangkap Pengarang Hiburan BH Shamsul Azree Shamsir berkata, gandingan artis, personaliti baru dan lama pastinya akan menjadikan malam kemuncak ABPBH29 mantap dan menghiburkan.

“Tidak sampai dua minggu lagi malam kemuncak ABPBH 29 yang mengiktiraf karyawan seni tanah air bakal berlangsung di PICC.

Majlis pra-kemuncak petang ini memberi peluang kepada peminat mengintai persediaan rapi yang dijalankan penganjur ketika ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Pra-Kemuncak ABHBH29 di Balai Berita NSTP, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan BH selaku penaung ABPBH29 Datuk Mahfar Ali dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH merangkap Penasihat 1 ABPBH 29 Datuk Badrul Hisham Othman.

Rakan penaja ABPBH29 adalah pengeluar motosikal tempatan iaitu Demak dan penaja bersama Ice Watch, rakan teknologi Asus serta penaja auto, Volkswagen.

Selain itu, penyiar televisyen rasmi ialah TV3, Kool FM (stesen radio rasmi), Tonton (platform digital rasmi) dan ZIP (majalah digital rasmi).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 7:31 PM