CHUNYAN Liu, gembira membawa anak bersiar-siar selepas mendaftarkan kelahirannya April tahun lalu.
CHUNYAN Liu, gembira membawa anak bersiar-siar selepas mendaftarkan kelahirannya April tahun lalu.
 RAMAI golongan yang tidak boleh didaftarkan di bawah polisi satu anak sudah mempunyai keluarga sendiri.
RAMAI golongan yang tidak boleh didaftarkan di bawah polisi satu anak sudah mempunyai keluarga sendiri.
PENGAKHIRAN polisi satu anak membolehkan semua rakyat China mempunyai rekod hukou.
PENGAKHIRAN polisi satu anak membolehkan semua rakyat China mempunyai rekod hukou.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Sudah 23 tahun Li Xue tinggal di Beijing, namun dalam tempoh itu dia tidak pernah bersekolah walaupun sehari.

China memberikan pendidikan percuma kepada semua kanak-kanak selama sembilan tahun persekolahan, namun orang seperti Li tidak layak menikmati peluang itu. Selama 23 tahun ini, dia tidak ada akses kepada sebarang bantuan kebajikan. Dia tidak boleh berkahwin, mempunyai pekerjaan atau membuka akaun bank.

Semuanya kerana dia adalah anak kedua dalam keluarganya. Berdasarkan polisi satu anak yang diamalkan China dari 1978 hingga 2015 untuk mengawal kadar pertambahan penduduk, individu seperti Li tidak wujud dalam pangkalan data kerajaan China.

Menurut Li, ibu bapanya cuba mendaftarkan kelahirannya di balai polis tetapi petugas di sana enggan menerima permohonan itu sebaliknya mendesak mereka menunjukkan surat kelulusan daripada suruhanjaya perancangan keluarga tempatan.

Tanpa surat pengesahan kelahiran, ibu bapa Li berhadapan kemungkinan dikenakan denda yang tinggi jumlahnya kerana melanggar polisi satu anak jika tetap mahu mendaftarkan kelahirannya tetapi mereka tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu.

Sejak lebih dua dekad perjuangan untuk anak kedua, tahun lalu barulah China menamatkan polisi satu anak dan akhirnya individu seperti Li mempunyai rekod rasmi bagi membuktikan kewujudannya.

Walaupun penamatan polisi satu anak itu membuka ruang untuk Li mendapatkan semua semua perkara yang tercicir sepanjang hidupnya tetapi ramai melihat pengiktirafan berkenaan agak terlewat dan tidak pasti apa yang kerajaan akan lakukan untuk membantu golongan anak kedua ini.

Li contohnya tidak pernah mendapat pendidikan formal. Dalam kepayahan, dia tetap cuba belajar sendiri dan meminjam buku di perpustakaan menggunakan nama kakaknya kerana ibu bapanya tidak mampu mengupah guru pembimbing.

“Ibu saya diberhentikan kerja kerana melahirkan saya. Kami empat beranak terpaksa hidup berjimat cermat dengan gaji ayah yang sedikit,” katanya ketika ditemui wartawan Thomson Reuters Foundation di rumah kecilnya yang tidak mempunyai tandas.

Ibu Li, Bai Xiuling, bekas pekerja kilang berkata, dulu anaknya selalu menangis setiap kali melihat kanak-kanak lain pergi sekolah.

“Dia mahu bersekolah, tetapi tidak boleh. Anak saya kehilangan peluang mendapat pendidikan wajib selama sembilan tahun. Tiada wang yang boleh membeli masa yang sudah berlalu itu,” katanya.

13 juta kehidupan

Berdasarkan bancian terbaru yang dikendalikan pada 2010, China mempunyai 13 juta penduduk seperti Li dan ia mewakili satu peratus daripada jumlah keseluruhan rakyatnya.

“Kebanyakannya adalah anak yang dilahirkan di luar polisi satu anak,” kata bekas ketua Biro Statistik China, Ma Jiantang yang mengendalikan bancian berkenaan.

Dalam kajian yang dijalankan Akademi Penyelidikan Makroekonomi di Suruhanjaya Pembaharuan dan Pembangunan Nasional mendapati hampir separuh penduduk China yang tidak berdaftar adalah buta huruf atau kurang mendapat pendidikan formal.

Selama tempoh polisi satu anak itu, anak kedua tidak dapat didaftarkan kecuali keluarga sanggup membayar denda yang tinggi. Bagaimanapun, ada beberapa pengecualian dalam polisi berkenaan.

Kelahiran di luar ikatan perkahwinan juga dikategorikan sebagai pelanggaran kepada peraturan perancangan keluarga China yang ketat itu apabila pasangan yang tidak berkahwin juga dikenakan denda untuk mendaftarkan anak mereka.

China adalah antara beberapa negara yang mempunyai sistem pendaftaran keluarga yang ketat dikenali sebagai ‘hukou’ - mengandungi tarikh kelahiran, perkahwinan dan maklumat lain.

Seseorang yang tidak mempunyai rekod hukou ini tidak boleh mendapatkan perkhidmatan awam seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan. Malah mereka tidak boleh berkahwin, mencari pekerjaan atau membuka akaun bank.

Kaitan antara polisi satu anak dan hukou ini sering menimbulkan kontroversi walaupun kerajaan berkata sistem pendaftaran keluarga itu terbuka kepada semua tanpa sebarang syarat.

Bagaimanapun, hakikat sebenarnya berbeza dan denda yang dikenakan kepada keluarga yang ada lebih seorang anak menjadi sumber pendapatan dalam negara, kata pengarah Firma Guaman Zhejiang Bi Jian, Youshui Wu.

Data yang Wu peroleh daripada 24 kerajaan wilayah mendapati pada 2012 saja, kerajaan China mengutip lebih 20 bilion yuan (RM13.2 bilion) daripada denda yang dikenakan kepada ibu bapa.

“Tidak ada satu pun daripada kerajaan wilayah ini yang boleh memberitahu sepenuhnya bagaimana wang itu digunakan,” kata Wu.

Pegawai di Suruhanjaya Kesihatan dan Perancangan Keluarga Nasional, Yang Wenzhuang bagaimanapun menafikan hukuman melanggar polisi satu anak memainkan peranan menghalang jutaaan rakyat negara itu daripada didaftarkan.

Dalam sidang akhbar yang diadakan awal tahun ini, beliau berkata jabatannya mencuba sebaik mungkin untuk menghapuskan apa juga halangan yang ditetapkan oleh kerajaan tempatan untuk rakyat mendaftarkan anak dan kini ramai rakyat yang tidak berdaftar sudah dimasukkan dalam sistem hukou.

Penyumbang pendapatan

Menurut Chunyan Liu, dia merahsiakan kelahiran anak perempuannya selama tujuh tahun kerana tidak mampu membayar denda. Guru sambilan yang tidak berkahwin dan mengajar Bahasa Inggeris itu hanya mendaftarkan kelahiran anaknya April tahun lalu.

“Di Beijing, denda yang dikenakan sangat tinggi. Berulang kali saya memikirkan (untuk mendaftarkan anak). Saya takut kalau kerajaan tahu saya ada anak yang dilahirkan tanpa kebenaran,” katanya.

Oleh kerana tiada dalam daftar hukou, anak Liu tidak dapat menikmati subsidi penjagaan kesihatan. Malah dia juga tidak boleh membeli tiket kereta api atau pergi ke luar negara.

“Saya sedih apabila melihat ibu bapa lain membawa anak mereka ke Disneyland Hong Kong kerana anak saya yang sudah berusia tujuh tahun tidak pernah keluar dari Beijing pun,” sambungnya.

Bagaimanapun, di sebalik semua kesukaran dan kebimbangan, Liu masih menganggap dirinya bertuah. Tahun lalu dia mencuba segala saluran untuk menyekolahkan anaknya tetapi gagal kerana tiada rekod hukou.

“Kini anak saya ada semua maklumat yang diperlukan untuk belajar di sekolah kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, bukan semua orang bertuah seperti Liu. Kajian Akademi Penyelidikan Makroekonomi di Suruhanjaya Pembaharuan dan Pembangunan Nasional mendapati lebih separuh daripada penduduk China yang tidak berdaftar kini berusia 18 tahun ke atas.

Golongan ini bukan saja tidak berpeluang bersekolah malah mereka berdepan kesukaran mencari kerja kerana gagal menunjukkan rekod hukou dan dokumen lain yang diperlukan majikan.

Contohnya, Liu Wei yang berasal dari wilayah Henan. Dia tidak mempunyai pilihan lain kecuali bekerja di lombong arang. Selepas lombong itu ditutup, Liu menganggur dan akhirnya terpaksa menjadi gelandangan selama lima tahun.

Penyisihan masyarakat juga menjadi isu besar kerana masalah ini boleh berlaku turun-temurun. Bahkan penyelidik juga tidak pasti bagaimana pengakhiran polisi satu anak boleh memberi kesan kepada mereka.

Menurut bekas pensyarah di Pusat Pengajian Kesihatan Awam TH Chan, Wenzheng Huang, ramai anak yang tidak didaftarkan sudah mempunyai keluarga sendiri dan ini bermakna golongan tidak berdaftar ini sudah ada generasi kedua.

“Kini kerajaan sedar, kehadiran terlalu ramai rakyat yang tidak berdaftar adalah satu masalah serius. Ia bukan saja memberi kesan kepada pembangunan sosial, malah menyusahkan ramai orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 1:44 PM