LIU saman ibu bapa kandungnya. FOTO Weibo
LIU saman ibu bapa kandungnya. FOTO Weibo
Agensi

Beijing: Seorang remaja China yang dijual ketika bayi kepada keluarga lain memfailkan saman terhadap ibu bapa kandungnya.

Ia selepas ibu bapanya itu enggan memberikan bantuan kewangan kepadanya selepas tiga beranak itu dipertemukan semula, baru-baru ini.

Penuntut kolej, Liu Xuezhou, 17, yang menetap di wilayah Hebei berkata, dia menyaman ibu bapa kandung kerana mereka tidak mahu menyediakannya dengan tempat tinggal.

Ia selepas ketiga-tiganya kembali bertemu dengan bantuan polis, pada akhir bulan lalu.

Liu berkata, ibu bapanya yang sudah bercerai dan masing-masing mempunyai keluarga baharu, tetapi menolak untuk dia tinggal bersama-sama dengan mereka.

Selain itu, ibu bapanya itu enggan membiayainya untuk tinggal di tempat lain.

Menurut laporan media, ibu bapanya dikatakan mempunyai masalah kewangan dan tidak mampu menuruti permintaan Liu itu.

"Saya hanya minta mereka sewa atau belikan rumah yang boleh saya duduk kerana saya tiada tempat tinggal," katanya.

Menurut South China Morning Post (SCMP), bapanya, Ding Shuangquan, mendakwa dia menawarkan anaknya itu tinggal bersamanya hingga dia tamat belajar dan berjanji membelikannya rumah selepas itu.

Namun, Liu dalam muat naik di Weibo berkata, bapanya itu berbohong dan tidak seorang pun sama ada ibu atau bapa kandungnya itu membenarkan dia melawat rumah mereka.

"Saya ingatkan hendak biarkan saja kerana apapun saya tetap anak kamu.

"Tetapi kamu putar belit dan tidak rasa bersalah langsung kerana menjual saya masa kecil.

"Jumpa kamu di mahkamah nanti," katanya yang dipetik SCMP.

Sementara itu, ibunya memberitahu media tempatan, dia mahu meneruskan kehidupan baharunya dengan aman.

Difahamkan. ibu bapa angkat Liu meninggal dunia ketika dia berumur empat tahun dalam kejadian letupan yang memusnahkan rumah mereka.

Sejak itu dia tinggal bersama datuk nenek angkatnya dengan beberapa saudara mereka.

Ketika bertemu semula dengan ibu bapa kandungnya, baru-baru ini, Liu dikatakan tidak mempunyai tempat tinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 6:30 AM