FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Beijing: Seorang petani di barat China mendapat pengurangan denda bagi kesalahan melanggar peraturan kerana memiliki lapan anak iaitu lebih daripada yang dibenarkan di negara itu.

South China Morning Post (SCMP) yang memetik Jiemian News melaporkan lelaki dikenali Liu itu sebelum ini dihukum denda 2.6 juta yuan (kira-kira RM1.68 juta), tetapi hanya perlu membayar 90,000 yuan (kira-kira RM57,997) dan ia wajib dibayar awal tahun ini.

"Saya akan membayar denda itu dengan apa saya ada selepas mengurangkan perbelanjaan untuk kehidupan seharian anak dan ibu bapa saya.

"Saya akan menghadapinya dan membayar sebanyak yang saya mampu," katanya.

Menurut satu laporan, Liu, 50, berulang kali dijatuhi hukuman denda kerana mempunyai bilangan anak lebih daripada yang dibenarkan dan sudah membayarnya tetapi tidak diketahui jumlahnya.

Pada 2019, Liu diperintahkan untuk membayar 2.6 juta yuan untuk tiga anak terbaharu.

"Kami tahu dia tidak akan mampu membayar begitu denda sebanyak itu.

"Bagaimanapun, kami tidak boleh 'menutup mata' kerana dia melanggar undang-undang," kata seorang wakil dari pejabat pemimpin setempat.

Liu dikatakan mengemukakan rayuan pengurangan denda itu sejak beberapa tahun lalu dan permohonannya diterima selepas dipertimbangkan oleh pihak berkuasa wilayah Sichuan.

Di China, obsesi untuk memiliki anak lelaki sebagai pewaris keluarga masih kuat.

Liu pada awalnya memiliki lima anak perempuan hasil perkahwinan dengan bekas isterinya.

Dia kemudiannya dikurniakan dua cahaya mata lelaki, pada 2006 dan 2010.

Liu dan bekas isterinya itu memiliki anak perempuan yang lahir antara dua anak lelaki mereka, namun menyerahkannya kepada keluarga lain kerana mengalami masalah kewangan.

Liu berpisah dengan bekas isteri pertamanya itu pada 2016 dan membesarkan tujuh anak dengan pasangan baharu.

Difahamkan, semua anak Liu sudah menerima hukou iaitu permit kependudukan yang diamalkan di China dengan dua daripadanya sudah berdikari daripada segi kewangan, manakala yang lain masih bersekolah.

Selain bertani, Liu juga melakukan pekerjaan sambilan untuk menyara keluarganya.

Di bawah undang-undang perancangan keluarga China, pasangan yang memiliki lebih daripada jumlah anak yang dibenarkan harus membayar denda.

Sejak Mei lalu, China mula membenarkan rakyatnya memiliki maksimum tiga anak.

Sebelum ini, kerajaan sudah menarik semula peraturan satu anak dan menggantikannya dengan had dua anak bagi setiap keluarga pada 2015.

Bagaimanapun, mereka yang memiliki anak lebih daripada jumlah ditetapkan tetap dikenakan denda.

Mereka yang gagal membayar denda, secara teorinya tidak dapat memiliki hukou untuk anak mereka, tempat tinggal tetap dan disenaraikan namanya dalam rekod polis setempat.

Pasangan yang memiliki anak ramai juga akan menghadapi kesulitan mendaftarkan anak mereka di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 7:01 AM