BERSAMA suami dan anak ketika bercuti di London baru-baru ini.
BERSAMA suami dan anak ketika bercuti di London baru-baru ini.

Keputusan Nora Ariffin menyertai Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) pada Oktober tahun lalu menimbulkan persoalan ramai kerana program realiti terbitan Astro itu dilihat lebih sesuai untuk penyanyi yang pernah popular satu ketika dulu.

Hakikatnya, Nora masih aktif dan tidak pernah hilang dari industri. Selepas album Sandiwara pada 1994, Nora muncul dengan Debaran (1995), Naluri (1996), Kirana (2000), Nora Nora (2002) dan Hikmah (2012). Tahun lalu tampil dengan single Anugerah ciptaan sepenuhnya Omar K.

Ramai melihat Nora berani mengambil risiko dan memperjudikan kerjaya seninya yang dibina sejak 1994. Apatah lagi dengan pelbagai kontroversi yang tercetus ketika berentap bersama penyanyi lain hinggalah kemuncaknya, Nora tersingkir hanya selangkah lagi untuk ke peringkat akhir.

Selepas GV3 melabuhkan tirainya awal Disember lalu, bagaimana dengan nasib penyanyi Di Persimpangan Dilema ini? Apakah GV3 membantu menyemarakkan kembali kerjaya seninya atau sebaliknya?

Agak lama sebenarnya tidak bertemu Nora yang satu ketika dulu sewaktu menjadi wartawan, dia antara artis yang kerap saya temui.

Juara Bintang HMI pada 1991 ini mula dikenali pada 1994 melalui album Sandiwara. Lagunya, Di Persimpangan Dilema ciptaan Adnan Abu Hassan cukup popular ketika itu.

Status dirinya sebagai isteri orang apabila bertemu jodoh dengan komposer Johan Nawawi ketika itu nyata bukan halangan untuknya terus menceburi dunia seni.

Baru-baru ini kami berpeluang bertemu ketika Nora hadir menjayakan program anjuran Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (Wham), Doa Untukmu Rohingya di Laman Santai, Istana Budaya, Ahad lalu.

Nora atau Wan Norafizah Ariffin masih seperti dulu, ramah dan penuh hormat. Walaupun lama tidak bertemu, Nora masih kenal dan menyapa dengan ramah.

Dia kini ibu empat anak, Mohd Syakir Iman, 24, Mohd Syakir Alif, 18, Putri Nur Dahlia, 13, dan Putri Nur Fatehah, 5.

Populariti dan dunia glamor sebagai anak seni sedikit pun tidak menghakis kecintaannya pada keluarga sebaliknya mereka diletakkan di tempat teratas.

Nora akui ramai bertanya mengapa perlu masuk GV3 sedangkan dia tidak menghilang daripada industri. Dia yakin dengan keputusannya dan menegaskan, tujuan utamanya menyertai pertandingan itu kerana mahu menimba pengalaman.

Dia juga sedar sebagai penyanyi yang ingin terus berjuang dalam industri, dia perlukan publisiti dan ada berita yang ingin dikongsi dengan umum.

Tambah pula generasi sekarang hanya kenal namanya tetapi mungkin tidak tahu kebolehannya sebagai penyanyi.

Dia melihat GV3 sebagai platform untuknya menyerlahkan kemampuan ditambah pula program itu memberi ruang kepadanya menyampaikan pelbagai genre lagu.

Nora akui banyak pengalaman yang diperoleh dan suasana pertandingan itu jauh berbeza ketika menyertai Bintang HMI pada 1991.

Kini dia merasai sendiri segala kritikan dan komen yang dilontarkan penonton program itu melalui media sosial.

Bagaimanapun, Nora enggan mengenang segala kontroversi yang melanda ketika GV3 dan mahu terus pandang ke hadapan.

Dia juga gembira kerana generasi baharu yang lahir pada 1990-an turut mengenali dirinya kini dan melihat ia sesuatu yang cukup positif.

Untuk 2017 ini, Nora lebih bersemangat meneruskan kerjaya seninya tambah pula tahun ini usianya genap 44 tahun dan berharap kerjayanya terus bersinar.

Nora dan keluarga juga baru pulang bercuti dari London pada 18 hingga 24 Disember lalu dan singgah di Dubai dalam perjalanan pulang dari London-Abu Dhabi-Kuala Lumpur. Baginya, tiada yang lebih membahagiakan dirinya selain dapat bersama keluarga.

Untuk peminat yang menantikan buah tangan daripadanya, kemungkinan pada Mac depan, Nora akan melancarkan video muzik Anugerah yang dirakam sebelum menyertai GV3.

Nora juga ingin merealisasikan impian peminatnya yang selama ini sering bertanyakan mini konsert atau showcasenya. Dia sedar bukan mudah tetapi semuanya kini dalam perancangan.

Nora juga meluahkan rasa terharunya apabila berpeluang menjayakan Doa Untukmu Rohingya yang menghimpunkan hampir 1,000 insan seni tanah air untuk meluahkan simpati mereka terhadap nasib yang menimpa umat Islam di Myanmar melalui puisi dan lagu kemanusiaan.

Katanya, sebagai anak seni, dia rasa bangga dapat menyumbangkan sesuatu untuk program amal ini. Nora menyampaikan puisi nukilan Hamzah Abdul Hamid, Segelap Hati Kita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:04 AM