Nasharuddin Muhammad

2016 sudah tiga hari meninggalkan kita dan sepanjang setahun yang lalu, pasti banyak peristiwa suka duka yang sudah kita harungi dan tempuhi. Bagi yang cekal dan tabah, mereka mampu bernafas dengan selesa, mereka yang sebaliknya pula mungkin terpaksa bernafas dalam seksa.

Sebagai rakyat biasa, sepanjang tempoh itu antara yang paling memberi kesan kepada kehidupan majoriti daripada kita ialah peningkatan kos sara hidup yang disebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Keadaan diburukkan dengan kejatuhan harga komoditi utama khususnya getah dan kelapa sawit selain minyak mentah di pasaran dunia menyebabkan sebahagian daripada kita ‘terpaksa’ kehilangan pekerjaan dan punca pencarian.

Lebih menyedihkan di celah-celah masalah itu, khususnya di warung dan kedai kopi, sebahagian daripada kita, sama ada secara sedar dan sengaja atau tanpa sedar dan tanpa sengaja dilihat lebih gemar memilih untuk ‘berdoa’ dan ‘berwirid’ secara tidak sepatutnya.

Biarpun niat asal mereka mungkin hanya mahu meluahkan rasa hati yang terpendam - marah, geram, kecewa, sakit hati dan sebagainya lantaran keadaan yang berlaku, tindakan mereka sebenarnya tidak membantu mengubah keadaan sebaliknya hanya menambah derita dan sengsara.

Tindakan berterusan kita yang hanya tahu menyalahkan atau menuding jari kepada pihak tertentu khususnya pihak berkuasa dan kerajaan disebabkan masalah yang membelenggu, ia sebenarnya tidak membantu.

Bayangkan begini, jika setiap hari, sebahagian daripada kita tanpa mengira apa juga agama dan kepercayaan hanya tahu mengomel, mengutuk, memaki-hamun dan mencaci, sudah tentu lama-kelamaan, ia benar-benar menjadi kenyataan. Bukankah setiap kata-kata kita itu satu doa?

Bagi sebahagian daripada kita yang beragama Islam, agama secara jelas menyatakan ada cara dan senjata lebih baik dan ampuh untuk kita cuba menyelesaikan masalah yang membelenggu melalui doa.

Bagaimanapun, berdasarkan pengamatan penulis, nampaknya sebahagian daripada kita seolah-olah dilihat lebih gemar memilih untuk ‘berdoa’ dan ‘berwirid’ dengan cara tidak sepatutnya tidak seperti yang diajarkan agama.

Justeru, dengan 2017 yang belum pun seminggu datang bertandang ini, diharapkan kita bersama-sama dapat terus membuat anjakan paradigma, melakukan penghijrahan minda, sikap dan tindakan serta mengubah sudut pandang kita.

Biarpun sudah ada pihak meramalkan betapa 2017 cabarannya lebih dahsyat dan berbahaya berbanding apa yang sudah kita lalui dan harungi sepanjang 2016 yang lalu, percayalah andai kita mampu menggunakan senjata kita yang ampuh itu, kita mampu mengubah keadaan.

Penulis Pengarang Bisnes/IT Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 9:54 AM