Ardini Sophia Sina


Kali terakhir aktor kacak, Chache Crawford berlakon dalam drama adalah pada penghujung tahun lalu menerusi Blood & Oil.

Mula meniti populariti selepas membintangi siri Dallas, Texas dan Gossip Girl, Crawford kini bersedia untuk berlakon semula dalam karya bersiri.

Sebaik sahaja Crawford dikenali, dia menerima banyak tawaran berlakon filem. Dia fokus pada filem sejak 2010 tetapi kini ingin kembali ke dunia drama. Kata Crawford, drama mengangkat dia terbang tinggi di persada seni. Dia tidak mahu hanya terlalu fokus pada filem sedangkan drama juga mempunyai naskhah yang menarik.

Tidak memandang karya-karya di televisyen sekadar picisan, Crawford membuktikan seseorang itu boleh berjaya walaupun bermula dengan skrin kecil.

Katanya, saiz televisyen dan skrin di pawagam tidak boleh dijadikan kayu pengukur kejayaan seseorang pelakon.

“Sama ada kita bermula di televisyen mahupun di layar perak, ia tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur untuk mengecapi kejayaan.

“Katakan saya berlakon dalam lima filem berturut-turut, ia masih tidak menjamin saya akan bertahan lama dalam industri.

“Sedangkan dengan karya televisyen, pelakon mungkin terus kekal sebagai pelakon drama atau berpeluang untuk berlakon dalam filem.

“Televisyen dan pawagam kedua-duanya memberikan kepuasan dan kelebihan berbeza. Kalau mahu terus dikenali, bolehlah berlakon drama.

“Penonton akan terus-menerus dapat melihat kita. Namun eksklusiviti hanya apabila kita berlakon drama. Ia umpama karya ulung yang kita lakukan hanya apabila benar-benar yakin dengan hasil akhir. Setelah sekian lama sibuk dengan filem, saya kini ingin sesekali berlakon drama,” katanya.

Crawford akui ada beberapa pelakon yang banyak muncul dalam filem sesekali menerima tawaran untuk berlakon drama. Baginya, perkara itu sama sekali tidak menjatuhkan darjat pelakon kelas A malah ia akan membuatkan peminat lebih mengagumi dengan sikap mereka yang tidak terlalu memilih.

Katanya, mana-mana pelakon drama yang berjaya dengan filem kemudian enggan berlakon untuk televisyen dilihat sebagai lupa daratan.

“Kalau bukan pendedahan daripada drama, tidak mungkin saya boleh berjaya dan dikenali di seluruh dunia. Saya mengenali beberapa pelakon yang memulakan kerjaya dengan drama. Mereka terkenal dan kemudian terus diberi peluang berlakon filem.

“Selepas bertahun-tahun meraih kejayaan di layar, mereka tidak mahu lagi berlakon drama hanya kerana bimbang menjatuhkan martabat mereka sebagai pelakon filem.

“Saya pelik bagaimana mereka boleh lupa dengan jasa penonton televisyen? Disebabkan mereka barulah pelakon drama dipandang dan kemudian diberi peluang berlakon ke layar perak.

“Tanpa populariti, produser mahupun pengarah sendiri akan kurang yakin dengan kemampuan kita,” katanya.

Tambahnya, penonton serta peminat memainkan peranan yang sangat besar dalam kerjaya seni. Walaupun kerap diberi peluang serta pelakon bekerja keras memberikan lakonan yang baik, jika umum tidak menerima kehadirannya, sukar untuk seseorang itu terus melangkah.

Bagaimanapun, Crawford percaya suatu hari nanti titik peluh seseorang itu akan dihargai. Dia menganggap dirinya sangat beruntung kerana membintangi drama yang menjadi kegilaan ramai.

“Saya tidak rasa keperitan sama seperti pelakon lain. Saya bertuah kerana beberapa siri yang membabitkan saya berjaya mencuri tumpuan dan berjaya meletakkan diri di hati peminat drama televisyen.

“Kejayaan itu membuatkan pengarah dan produser memberikan peluang kepada saya untuk membintangi filem yang mereka hasilkan. Ia membantu saya membina kredibiliti sebagai pelakon. Sebab itulah saya tidak menolak andai ada tawaran berlakon drama.

“Terus terang, saya terkilan ramai menolak drama sejak sibuk dengan filem. Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana sudah terikat dengan karya layar perak. Saya berharap tahun ini, akan ada peluang untuk muncul di televisyen,” katanya.

Muncul dengan filem baru, Eloise, karya seram itu mengangkat Crawford ke tahap baharu apabila menambah genre baharu dalam lakonannya. Dia akui tertarik dengan jenis filem seperti itu.

Walaupun terlalu banyak pilihan filem seram yang ada, Crawford tidak menganggap ia punca filem lain dengan genre yang sama kurang mendapat sambutan. Dia percaya setiap genre seram itu mempunyai jalan cerita yang ada pengikutnya.

Katanya, menyalahkan filem lain penyebab kegagalan filem yang dilakonkan adalah tindakan kurang bijak. Anak seni seharusnya bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

“Dengan pemikiran seperti itu, ia menunjukkan pelakon itu tidak matang. Lumrah dunia seni, ada kalanya filem itu mempunyai jalan cerita yang bagus dan pelakon hebat tetapi masih kurang sambutan. Ia perkara biasa.

“Pelakon perlu bersedia untuk berhadapan dengan situasi seperti itu. Kuasa memilih di tangan penonton. Merekalah yang menentukan kejayaan filem itu. Apabila filem mula ditayangkan di pawagam, pelakon hanya boleh berharap karya berkenaan mendapat sambutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 5:07 AM