MOUNI ROY
MOUNI ROY
Ardini Sophia Sina


Ada pelakon mahu fokus di layar perak sahaja supaya penampilannya lebih eksklusif berbanding berlakon drama tetapi berbeza dengan Mouni Roy, 31, lebih selesa dikenali sebagai pelakon drama.

Malah Mouni bangga apabila drama Naangin mendapat sambutan hangat dan menjadi topik perbualan sehingga hari ini.

Katanya, drama itu tidak sahaja dinanti-nantikan penonton malah diakui benar-benar mencabar kredibilitinya sebagai pelakon. Watak wanita yang identiti sebenarnya adalah ular jadian sangat mencabar baginya kerana menggunakan banyak tenaga.

“Jujur saya katakan, watak Naangin adalah karakter paling sukar dan mencabar untuk saya lakonkan. Banyak perkara kejam dan jahat yang saya lakukan apabila tanpa rasa belas kasihan, Naangin membunuh dengan kejam.

“Saya juga terpaksa menyelam, ditimbus tanah dan tergantung pada tali dengan berpakaian fabrik lycra. Dalam cuaca panas terik, saya tidak selesa menjalani penggambaran untuk babak itu.

“Kepayahan yang saya harungi menjayakan watak ular jelmaan berbaloi apabila ramai menghargai usaha kami. Sukar untuk menggambarkan perasaan itu tetapi semua komen yang diberikan membuatkan saya tersenyum sepanjang hari,” katanya.

Mouni gembira apabila drama itu mendapat jumlah tontonan paling tinggi setakat ini.

Katanya, dia puas sebab memberikan sepenuh jiwa dan komitmen bagi memastikan yang terbaik untuk penonton.

“Bukan hanya pelakon, semua kru serta pengarah dan penulis skrip bekerja keras agar drama itu dihasilkan dengan baik.

“Apabila mendapat komen serta maklum balas positif, ia melegakan tidak hanya pelakon juga semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya.

Mula berlakon sejak 2007, hingga kini Mouni membintangi dua filem iaitu Hero Hitler In Love dan Tum Bin II. Dia selesa menjadi pelakon drama dan bangga sehingga kini masih bertahan dan mengekalkan populariti.

Dia masih bertahan walaupun hanya menjayakan drama televisyen. Malah popularitinya tidak sedikit pun goyah dengan kehadiran pelakon baru. Nama Mouni tetap menjadi pilihan produser dan pengarah. Peminat drama juga tidak sedikitpun jemu menonton lakonannya.

Berkongsi rahsia bagaimana kekal dalam hati peminat, Mouni merendah diri mengatakan sudah takdirnya tertulis sebegitu.

“Saya memilih untuk terus bekerja dalam bidang yang dirasakan sesuai dengan kepakaran diri. Seseorang itu harus yakin dengan lakonannya baharulah boleh mencuba benda baru.

“Sejak kemunculan pertama dalam Kyunki Saas Bhi Kabhi Bahu Thi, karier saya terus berjalan lancar. Drama saya satu demi satu mendapat jumlah tontonan tinggi.

“Seseorang itu harus tahu kekuatannya dalam pemilihan karakter dan jalan cerita. Kita harus bersikap adil pada watak yang kita bawa.

“Jangan hanya kerana ia sesuatu yang besar, kita menjadi tamak dan menerima tawaran itu tanpa memikirkan kesan buruk,” katanya.

Selain itu, Mouni akui setiap kali berlakon akan memberikan perhatian 200 peratus daripada apa yang diminta.

Katanya, kalau di TV pelakon sama besar dengan karya disiarkan. Tamat saja drama itu, harus pantas mencari karya lain.

“Tuhan sangat baik hati kerana memberikan saya banyak projek yang berjaya. Saya bekerja keras dalam setiap lakonan. Paling penting, harus yakin dengan watak yang dibawa supaya orang lain yakin dengan kebolehan kita,” katanya.

Mengakui bukan seorang yang bercita-cita tinggi, dia tidak menolak andai ada tawaran berlakon filem yang dirasakan sesuai

Katanya, dia tidaklah terlalu memilih tetapi apabila bercakap mengenai filem, ia sesuatu yang sangat besar.

“Bergelar pelakon membuatkan saya juga ingin bekerja keras dan terus melebarkan sayap dalam industri. Saya tidak mahu berlakon filem hanya kerana saya mahu. Saya tidak terpengaruh dengan syarikat produksi gergasi mahupun pengarah yang ada nama besar terbabit dalam filem itu.

“Saya lebih melihat pada sejauh mana filem itu boleh bertahan dan kekal dalam hati peminat. Tidak ada gunanya saya berlakon filem kemudian berlakon semula dalam drama. Saya lebih rela menjadi pelakon kelas A drama. Saya gembira dengan ruang yang ada sekarang.

“Saya juga sedar pada masa akan datang, saya tidak lagi akan diberi watak-watak seperti yang saya lakonkan sekarang. Namun, saya ada perancangan untuk membuat perkara lain. Lambat atau cepat, saya akan menulis buku,” katanya.

Naagin mula bersiaran di TV India mulai 1 November 2015 dan berakhir pada 5 Jun 2016. Sambutan hangat drama itu membuatkan penerbit menghasilkan sekuelnya dan kali ini Mouni memegang dua watak sebagai Shivanya kemudian Shivangi Raheja selepas kematian Shivanya. Naagin 2 turut dijayakan Adaa Khan, Karanvir Bohra, Sudha Chandran dan Aashka Goradia.

Naagin kini disiarkan di saluran Taara HD (108) dan turut dijayakan Arjun Bijlani, Adaa Khan dan Sudha Chandran. Ia mengisahkan Shivanya, ular jelmaan yang mahu membalas dendam kematian ibu bapanya.

Ada lima orang yang membunuh tetapi Shivanya hanya nampak tiga wajah daripada mereka. Namun lepas itu dia berbelah bagi di antara dendam dan cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 5:04 AM