KOLAM air berpancuran terletak bersebelahan pintu masuk.
KOLAM air berpancuran terletak bersebelahan pintu masuk.
HAMPARAN rumput yang menyuntik aura semula jadi.
HAMPARAN rumput yang menyuntik aura semula jadi.
KERUSI putih di taman untuk keselesaan bersantai.
KERUSI putih di taman untuk keselesaan bersantai.
TUMBUH subur dengan karakter bunganya yang menarik.
TUMBUH subur dengan karakter bunganya yang menarik.
Oleh Hartini Mohd Nawi

Deruan air daripada kolam berpancuran bagaikan menyambut kujungan penulis ke kediaman ini sebaik dijemput masuk.

Landskap yang terletak di bahagian pintu utama itu turut dihias indah dengan pepohon hijau subur.

Dilengkapi juga dengan beberapa ikan, ia sudah cukup menyingkap suasana semula jadi yang diinginkan pemiliknya.

Ternyata penggayaan taman yang sarat dengan elemen semula jadi tidak hanya memberikan keselesaan, malah menjadi sajian mata paling menenangkan.

Mengimpikan suasana itulah yang mendorong Azliza Ariffin, 48, dan suami, Mohamed Azman Shah Ishak, 48, mencari kelainan dalam pembentukan taman di kediaman mereka yang terletak di Taman Seri Gombak Heights, Batu Caves, Selangor ini.

"Sebaik mendiami rumah ini, perancangan awal termasuk mencipta taman yang selesa dan tenang antara agenda utama.

"Justeru, kami selesa memilih konsep taman hijau dan zen kerana lebih memperlihatkan keaslian serta nampak menarik," kata Azliza yang sering berkongsi idea dengan suaminya yang berkhidmat di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

Buktinya, hampir keseluruhan landskap kediamannya itu disempurnakan dengan barisan pelbagai jenis pepohon hijau.

Tanaman dalam pasu juga turut diisi dengan pepohon hijau yang mempunyai karakter tersendiri.

Hamparan rumput karpet pula menambahkan aura hijau di taman.

"Bagi memastikan rumput ini terus kekal subur sepanjang masa, kami membina ruang pejalan kaki untuk memudahkan laluan.

"Ia diselang-seli dengan batu-batuan rona putih yang tentunya menjadi tarikan secara tidak langsung," katanya.

Bagaimanapun, di kawasan rumput karpet itu sering diadakan majlis keramaian kerana ia dirasakan lebih luas dan tetamu berasa selesa.

Sebuah kerusi santai putih pula diletakkan bersebelahan hamparan rumput itu untuk pengalaman santai lebih bermakna.

Kehadiran kolam renang mini juga tidak kurang daya tarikannya di samping reka letak gazebo atau wakaf berhampirannya.

Petua penjagaan taman

Bagi mengekalkan keindahan taman, rutin penjagaan dan penyelenggaraannya sering diberi perhatian.

Tidak perlu menunggu hingga tanaman rosak atau mati barulah landskap cuba diperbaiki.

Hujung minggu menjadi waktu terbaik buat Azliza dan keluarga menyelenggara taman.

Rutin menyiram pokok tidak pernah diabaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 8:49 PM