Anggota bomba menyembur air membersihkan kawasan tanah runtuh di Rumah Peranginan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sharples, Tanah Rata. FOTO Muhaizan Yahya
Anggota bomba menyembur air membersihkan kawasan tanah runtuh di Rumah Peranginan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sharples, Tanah Rata. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop


Cameron Highlands: Siasatan mendapati kejadian tanah runtuh di empat lokasi di sini, Ahad lalu, bukan berpunca daripada pencerobohan tanah sebaliknya disebabkan taburan hujan tinggi pada hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid berkata, pihaknya bersama Jawatankuasa Bencana Daerah sudah memulakan siasatan dan mendapati tidak berlaku sebarang pencerobohan tanah di keempat-empat lokasi itu.

Menurutnya, taburan hujan tinggi menyebakan berakunya pergerakan cerun sekaligus mengakibatkan berlakunya tanah runtuh di empat lokasi berkenaan.

Katanya, empat lokasi terbabit di Tanah Rata itu ialah di Rumah Peranginan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sharples, kilometer 55 Jalan Tapah- Tanah Rata berhampiran Bharat Tea, Kilometer 59 Jalan Tapah- Tanah Rata dan Jalan Perdah.

"Memang tidak berlaku pencerobohan tanah di keempat-empat lokasi dan di rumah peranginan TNB Sharples yang paling teruk terjejas pun tidak membabitkan sebarang aktiviti haram.

"Apa yang berlaku pada hari kejadian ialah hujan luar biasa dan rekod dicatatkan Pejabat Meteorologi Tanah Rata menunjukkan kadar curahan hujan keseluruhan adalah 100.9 milimeter manakala antara jam 2 hingga 3 petang kadar curahan sebanyak 52.66 milimeter melebihi tahap normal iaitu 20 milimeter," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Hasadid turut menasihatkan orang ramai yang ingin berkunjung ke pusat peranginan itu supaya tidak khuatir kerana keseluruhan kawasan itu selamat dan pemantauan sentiasa dijalankan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 6:16 PM